Jumaat, 1 September 2017 | 6:39pm
KETUA jurulatih, Datuk Ong Kim Swee (kanan) bersama pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Osman Adnan
DATUK Ong Kim Swee (tengah) berjaya membawa skuad B-22 negara ke pentas final pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Foto Asyraf Hamzah

Khidmat Kim Swee masih diperlukan: Yusof

KUALA LUMPUR: Pengurus skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata khidmat Datuk Ong Kim Swee masih lagi diperlukan untuk mengharungi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, pada Januari.

Katanya, kejayaan membawa skuad muda negara layak secara automatik buat kali pertama ke kejohanan itu selain meraih perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 membuktikan kemampuan pengendali itu mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Skuad bawah 22 tahun yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mencapai keputusan baik di dua kejohanan besar tahun ini. Pasukan ini melepasi kelayakan AFC (B-23) di Bangkok bulan lalu dan layak ke final Sukan SEA.

"Walaupun kita kalah kepada Thailand (0-1) dan meraih pingat perak, kejayaan mara ke final Sukan SEA boleh dianggap baik seperti yang diakui sendiri Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini.

"Pemain-pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi pada final itu. Cuma nasib tidak menyebelahi kita. Saya fikir dengan dua pencapaian ini oleh pasukan yang pada awalnya tidak diletakkan harapan tinggi, ia boleh dijadikan asas penilaian untuk FAM menentukan kedudukan Kim Swee nanti," katanya kepadanya BH Online.

Akhbar semalam melaporkan mengenai nasib Kim Swee yang masih belum pasti untuk membimbing skuad B-22 selepas kontraknya berakhir 31 Disember ini.

Malah difahamkan ada beberapa kelab utama Liga Super Indonesia (ISL) termasuk satu kelab yang berpangkalan di Jakarta berminat untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan itu.

Bagaimanapun Kim Swee, 46, enggan memberi sebarang komen mengenai spekulasi itu sebaliknya mahu memberi fokus kepada proses perbincangan dengan FAM mengenai kontrak lanjutannya dalam masa terdekat ini.

Menurut Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM, segala keputusan bergantung kepada penilaian Jawatankuasa Teknikal.

Beliau berharap kata putus dapat dicapai memandangkan mereka hanya ada lebih kurang empat bulan sebelum menghadapi Kejohanan AFC B-23.

"Kejohanan AFC akan berlangsung pada Januari tahun depan. Saya fikir untuk meletakkan jurulatih baru agak susah kerana masa yang agak singkat. Peluang untuk Kim Swee disambung kontraknya ada tapi bergantung kepada keputusan pihak pengurusan.

"Kalau mengikut perancangan awal, pemain perlu dipanggil semula pada Disember ini sebelum ke China. Kali ini kita perlu melakukan persiapan lebih rapi dan bukannya secara tergesa-gesa untuk menyediakan pasukan lebih mantap," katanya.

Berita Harian X