Rabu, 30 Ogos 2017 | 7:59am
KAPTEN Liverpool, Jordan Henderson. - Foto REUTERS

Henderson gembira Keita pilih Liverpool

Hendo30 / sukan / bola

BURTON-ON-TRENT (United Kingdom): Kapten Liverpool, Jordan Henderson mengucapkan tahniah kepada kelab selepas berjaya menandatangani kontrak jangka panjang Naby Keita dari RB Leipzig.

Pemain tengah berusia 22 tahun dari Guinea itu dijadual tiba pada Julai 2018 selepas Liverpool dilaporkan membayar 48 juta pound (RM245 juta) untuk klausa pelepasan kontrak termasuk bayaran tambahan lain.

"Saya dapat menyaksikan beberapa kali aksi Nabi dan dia pemain yang hebat," kata Henderson di pusat latihan England di sini, awal pagi tadi.

"Terlalu banyak spekulasi pemindahan pada musim panas ini dan syukur kerana kami dapat melakukan urusan.

"OK, dia akan datang pada tahun depan, tetapi saya pasti kelab gembira kerana dapat mengikat pemain yang mampu menjadi tambahan kepada skuad dan harap dapat membantu kami untuk tempoh yang akan datang."

Henderson melaporkan diri untuk skuad England dengan membawa tonik kemenangan selepas Liverpool menewaskan Arsenal 4-0, Ahad lalu - sekali gus membantu anak buah Jurgen Klopp berada di kedudukan kedua dalam Liga Perdana Inggeris, ketika ini.

Arsenal dan pengurus mereka, Arsene Wenger berdepan kritikan hebat sebaik saja perlawanan tamat, namun Henderson percaya kebanyakan pasukan akan merasa sukar apabila bertemu Liverpool.

"Arsenal masih menjadi pasukan yang hebat dengan memiliki ramai pemain bagus," katanya.

"Saya tahu mereka berdepan banyak kritikan, terutama selepas perlawanan dengan kami tetapi dalam pada sama, kami juga menunjukkan yang kami juga sangat bagus.

"Apabila kami bermain dengan corak sebegitu, dengan penuh semangat, ia akan menjadi sukar buat kebanyakan pasukan untuk cuba melepasinya. Mana-manapun yang hadir ke Anfield pada hari itu akan berdepan kesukaran." - AFP

Berita Harian X