Ahad, 27 Ogos 2017 | 3:50pm
KETUA Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Lokman Hakim Ali. - Foto Surianie Mohd Hanif

KL2017: Stadium Shah Alam venue final bola sepak

KUALA LUMPUR: Stadium Shah Alam akan menjadi gelanggang bagi perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Thailand, Selasa ini.

Perkara itu disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan itu juga menyaksikan berlaku perubahan dalam perancangan awal badan induk berkenaan yang mahu mengadakan aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya Malaysia layak dalam perebutan pingat emas.

"Mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali di Hotel Hilton Petaling Jaya, pagi tadi telah mencapai keputusan bahawa perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Thailand akan diadakan di Stadium Shah Alam pada Selasa ini.

"Sepak mula jam 8.45 malam dan harga tiket RM21.20 (termasuk GST)," kata kenyataan itu lagi.


SKUAD B-22 negara sudah beraksi di Stadium Shah Alam dalam empat perlawanan di peringkat Kumpulan A dengan mencatat rekod bersih kemenangan ke atas Brunei, Singapura, Myanmar dan Laos sebelum menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir. - Foto Asyraf Hamzah

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sudah beraksi di Stadium Shah Alam dalam empat perlawanan di peringkat Kumpulan A dengan mencatat rekod bersih kemenangan ke atas Brunei, Singapura, Myanmar dan Laos sebelum menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir semalam.

Thailand juara bertahan yang bersaing dalam Kumpulan B beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) termasuk ketika mengalahkan Myanmar di separuh akhir.

Sementara itu, perlawanan penentuan pingat gangsa antara Indonesia dan Myanmar akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Selasa, sepak mula jam 4.30 petang.


REAKSI penjaga gol Malaysia, Nadzli (kanan) dan Ifwat Akmal meraikan kejayaan mara ke final bola sepak selepas menewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

Berita Harian X