Sabtu, 26 Ogos 2017 | 11:49pm
KETUA Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee (tiga dari kiri) dan Adam Nor Azlin selepas tamat perlawanan Malaysia menumpaskan Indonesia 1-0 pada perlawanan Separuh Akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

KL2017: Belum masa lagi untuk bergembira - Kim Swee

SHAH ALAM: Pengendali skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) Datuk Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu meraikan kejayaan ke final buat kali ke-12 kerana misi sebenar mereka adalah merampas semula pingat emas daripada Thailand.

Beliau berkata, kejayaan menundukkan Indonesia 1-0 pada separuh akhir di Stadium Shah Alam malam tadi, menyuntik keyakinan pemain untuk berdepan Thailand yang menewaskan mereka di Bangkok dalam saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23, bulan lalu.

"Saya ada tiga hari lagi untuk benar-benar gembira (final), ia bagus untuk kita layak ke final tapi kita tak boleh terlalu meraikannya, sebaliknya semua pemain kena fokus menentang Thailand.

"Kita bermain di tempat sendiri, tiada sebab untuk kita berasa takut dengan Thailand. Memang kita kalah 0-3 dengan mereka di Bangkok, tapi final adalah permainan berbeza dan kita sudah bersedia," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Kim Swee menurunkan barisan terbaik dan seharusnya mendahului pada babak pertama, namun beberapa peluang terhidang gagal disempurnakan dengan baik.

Penyerang N Thanabalan gagal menanduk tepat bola hantaran lintang di depan pintu gol pada minit ke-6 manakala sepakan sudut Safawi Rasid pula ditepis keluar penjaga gawang Indonesia, Satria Tama Hardiyanto pada minit ke-29.

Kecederaan S Kumaahran menyebabkan Kim Swee terpaksa memasukkan penyerang Jafri Firdaus Chew dengan saingan babak pertama berakhir tanpa jaringan.

PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan mara ke perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea KL2017 selepas menewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Shah Alam. - Foto Luqman Hakim Zubir

Aksi pada separuh masa kedua lebih mendebarkan dengan kebuntuan untuk mendapatkan gol hanya mampu dileraikan menerusi tandukan Thanabalan pada minit ke-87, sekali gus mencipta gemuruh 80,000 penyokong.

Jaringan itu sudah cukup untuk membawa Malaysia bertemu Thailand di final Sukan SEA buat kali keempat, dengan kali terakhir di Kuala Lumpur 2001 menyaksikan skuad negara tewas 0-1.

"Indonesia bermain baik pada separuh masa pertama dan kita terlalu berhati-hati. Tapi pemain bangkit pada separuh masa kedua, mendominasi permainan dan menunjukkan karektor terbaik untuk menang," kata Kim Swee yang membimbing pasukan menjuarai pingat emas kali terakhir di Sukan SEA Jakarta 2011.

Berita Harian X