Jumaat, 25 Ogos 2017 | 9:23am
PENGENDALI Manchester United, Jose Mourinho. - Foto Reuters

Mourinho kepingin minggu sempurna

MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Jose Mourinho berharap dapat menutup minggu cemerlang, di dalam dan luar padang, dengan kemenangan ketiga berturut-turut apabila Leicester bertandang ke Old Trafford, esok.

United memenangi dua perlawanan pembukaan liga mereka, kedua-duanya dengan kemenangan 4-0 - di West Ham dan Swansea, dan Mourinho turut menyaksikan beberapa tonggak utamanya pulih daripada kecederaan.

Ia ditambah dengan kepulangan penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang kembali menyertai mereka untuk tempoh setahun lagi dan dijangka akan mula beraksi menjelang akhir tahun selepas menjalani pembedahan lutut.

Pertahanan Luke Shaw dan Marcos Rojo juga mula mencapai tahap kecergasan terbaik, bersama-sama pemain saya Ashley Young.

Shaw dan Young, kedua-duanya mengharungi perlawanan skuad bawah 23 tahun minggu ini, dijangka akan bermula di bangku simpanan pada pertemuan dengan Leicester.

Dengan Ibrahimovic masih belum bersedia untuk beraksi dalam kesebelasan utama, Mourinho akan mempertaruhkan Romelu Lukaku, pemain yang ditandatangani untuk menggantikan Ibrahimovic yang meledak 28 gol musim lalu, untuk meneruskan prestasi cemerlangnya.

Pemain Belgium itu menjaringkan tiga gol dalam dua penampilan liga pertamanya bersama United, empat dalam tiga perlawanan termasuk Piala Super Eropah ketika tewas kepada Real Madrid.

Dan Ibrahimovic percaya, walaupun kehilangan kapten Wayne Rooney pada jendela perpindahan musim panas ini, jentera serangan United jauh lebih mantap hasil gandingan Marcus Rashford dan Lukaku.

"Iya saya gembira dia datang. Saya rasa pasukan lebih kuat musim ini, walaupun kita kehilangan Rooney, seorang legenda," kata Ibrahimovic kepada ESPN FC.

"Menandatangani Lukaku menjadikan kami lebih kuat kerana dia mempunyai kualiti berbeza berbanding saya dan Rashford sebagai penyerang. Dia seorang yang kuat dan membawa kualiti tambahan dalam permainan." - AFP

Berita Harian X