Khamis, 24 Ogos 2017 | 7:15am
PEMAIN Liverpool, Emre Can meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Hoffenheim di Anfield, awal pagi tadi. - Foto AFP

Dua ledakan Can bantu kemaraan Liverpool

LIVERPOOL: Emre Can meledak dua gol ketika Liverpool mencatat kemenangan meyakinkan ke atas Hoffenheim 4-2 di Anfield, awal pagi tadi untuk melangkah ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali kedua sejak 2010.

Pemain tengah Jerman itu menyumbat dua gol dalam tempoh 21 minit permainan diikuti jaringan Mohamed Salah untuk Liverpool selesa mendahului sebelum pemain gantian Mark Uth merapatkan jaringan buat pelawat.

Bekas pemain Hoffenheim, Roberto Firmino menjaringkan gol keempat The Reds pada babak kedua dengan tandukan lewat Sandro Wagner pada minit ke-79 tidak menghalang skuad bimbingan Jurgen Klopp mara dengan agregat 6-3.

Selepas meraih 15 kemenangan di laman sendiri menentang kelab Jerman, Liverpool akan mengetahui lawan mereka di peringkat kumpulan ketika sesi undian dijalankan di Monaco yang akan menampilkan lima kelab Inggeris buat pertama kali.


PEMAIN Liverpool, Emre Can membuat jaringan dalam perlawanan menentang Hoffenheim di Anfield, awal pagi tadi. - Foto AFP

Liverpool menyertai Chelsea, Tottenham Hotspur dan Manchester City yang layak menerusi tiket Liga Perdana Inggeris (EPL) manakala Manchester United meraih tiket dengan memenangi Liga Europa.

Ia adalah penampilan pertama Liverpool di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sejak musim 2014-15 yang menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

Klopp sekali lagi tanpa khidmat bintangnya, Philippe Coutinho yang masih bergelut dengan masalah kecederaan, namun persembahan menarik Firmino dan Sadio Mane menunjukkan kelibatnya tidak dirindui.

Bekas juara Eropah itu mendahului seawal minit ke-10 menentang Hoffenheim yang beraksi di pentas Eropah buat kali pertama apabila gerakan yang dimulakan Firmino dan Mane memberi laluan buat Can memecah kebuntuan.

Salah menggandakan kedudukan tuan rumah pada minit ke-18 sebelum Can meletakkan Liverpool selesa mendahului 3-0 tiga minit kemudian, juga berpunca gerakan Mane dan Firmino. - AFP


PEMAIN Hoffenheim, Andrej Kramaric diasak pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold di Anfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X