Khamis, 24 Ogos 2017 | 12:37am
JURULATIH Laos, Mike Wong tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun tewas 1-3 kepada Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KL2017: Akur perjalanan Laos masih jauh

SHAH ALAM: Jurulatih Laos, Mike Wong tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya sepanjang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ini biarpun tersingkir di peringkat kumpulan.

Monheng berkata, walaupun Laos tidak setanding Malaysia dan Myanmar dalam Kumpulan A, ia memberi pendedahan antarabangsa terbaik buat anak buahnya.

"Ia satu saingan yang mencabar di Sukan SEA walaupun kami tidak layak ke peringkat seterusnya. Apapun pasukan saya dibarisi pemain muda dan perjalanan kami masih jauh.

"Apa yang saya lihat, pemain mendapat pendedahan terbaik dan aksi cemerlang Malaysia serta pasukan lain termasuk Myanmar tidak mengejutkan saya," katanya pada sidang media selepas perlawanan dengan Malaysia, malam tadi.


PEMAIN Laos, Phaphakdy Anouwath (tengah) diasak pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad pada aksi bola sepak Sukan SEA KL2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Asyraf Hamzah

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu, Laos terpaksa akur dengan kehebatan Malaysia selepas tewas 1-3.

Dua gol Jafri Firdaus Chew dan satu daripada Adib Zainudin sudah cukup untuk menghukum Laos yang mendapat gol tunggal menerusi Phanthavong Thanin.

Kekalahan itu menyaksikan Laos menamatkan saingan di kedudukan keempat Kumpulan A.

Selain itu, jurulatih itu turut meramalkan betapa Malaysia kemungkinan akan berdepan Indonesia di separuh akhir.

"Saya fikir Indonesia juga pasukan yang kuat dan memiliki peluang untuk mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B," katanya.

Berita Harian X