Khamis, 24 Ogos 2017 | 12:28am
KETUA jurulatih, Datuk Ong Kim Swee tetap optimis skuad negara mampu melangkah ke final acara bola sepak lelaki Sukan SEA KL2017. - Foto Asyraf Hamzah

KL2017: Kim Swee intai final

SHAH ALAM: "Kami tidak mahu memandang rekod ini (peringkat kumpulan) tapi kami mahu menamatkan kempen pada 29 haribulan (final) dengan rekod lebih baik," kata pengendali skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee yang mahu anak buahnya merebut tempat ke final selepas mara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan A.

Malaysia mengekalkan rekod bersih dalam kempen peringkat kumpulan dengan mencatat kemenangan keempat berturut-turut pada aksi terakhir, selepas menundukkan Laos 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ia pencapaian baik buat anak buah Kim Swee yang tersingkir awal di Singapura, dua tahun lalu.

"Ia rekod yang baik dengan meraih empat kemenangan daripada empat perlawanan. Tapi kami kena membuat persediaan menghadapi perlawanan lebih penting Sabtu ini (separuh akhir)," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Malaysia masih menanti lawan yang bakal ditemui pada aksi separuh akhir, sama ada Vietnam, Thailand dan Indonesia yang bakal turun pada perlawanan terakhir mereka hari ini bagi merebut dua slot dari Kumpulan B.

Sebelum ini skuad muda negara mencatat kemenangan ke atas Brunei dan Singapura 2-1 dan mengalahkan naib juara kumpulan Myanmar 3-1.

PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan menewaskan Laos 3-1 pad aksi bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Asyraf Hamzah

Kim Swee hanya mengekalkan kapten Adib Zainudin, Irfan Zakaria dan penyerang N Thanabalan yang menyumbat dua gol ketika menewaskan Myanmar dalam kesebelasan utama untuk memberi peluang kepada pemain simpanan beraksi menentang Laos.

Dengan merehatkan ramai tonggak bukan masalah buat pasukan tuan rumah mendahului Laos 1-0 menerusi jaringan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-26.

Bagaimanapun Laos yang hanya menang sekali dalam tiga perlawanan dengan menewaskan Brunei 3-0, mengejutkan tuan rumah menerusi sepakan percuma menarik Phanthavong Thanin untuk mengikat kedudukan 1-1 di minit ke-36, namun Adib kembali meletakkan Malaysia di depan tiga minit kemudian.

Jafri mengesahkan kemenangan dengan menyepak masuk bola hantaran lintang pemain gantian Akhyar Rasid pada masa kecederaan untuk gol ketiga Malaysia.

"Pemain beraksi dengan baik tapi melakukan kesilapan di depan kotak penalti. Tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghalang mereka (Laos) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma," kata Kim Swee yang kali terakhir membimbing pasukan meraih emas pada Sukan SEA Jakarta 2011.

Berita Harian X