Rabu, 23 Ogos 2017 | 10:55pm
PEMAIN Malaysia, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew meraikan jaringan pada aksi bola sepak lelaki Sukan SEA KL2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Asyraf Hamzah

KL2017: Malaysia juara Kumpulan A

SHAH ALAM: Malaysia melangkah separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sebagai juara Kumpulan A selepas menundukkan Laos 3-1 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mengekalkan rekod bersih dengan memenangi kesemua empat perlawanan peringkat kumpulan dan akan berdepan naib juara Kumpulan B, sama ada Vietnam, Thailand atau Indonesia di separuh akhir nanti.

Dalam perlawanan itu, Kim Swee melakukan kira-kira lapan perubahan dalam kesebelasan utama berbanding ketika berdepan Myanmar, Isnin lalu, dan menyaksikan anak buahnya memulakan aksi dengan sedikit perlahan.

Malaysia terpaksa menunggu hingga minit ke-27 untuk membuka tirai jaringan menerusi Jafri Firdaus Chew yang bijak melakukan tindakan susulan selepas percubaan Syafiq Ahmad terkena palang gol.

Kedudukan itu bagaimanapun bertahan hanya lima minit apabila Laos membuat kejutan dengan gol penyamaan, hasil sepakan percuma menarik Phanthavong Thanin.


KAPTEN Malaysia, Mohd Adib Zainudin (tengah) melepasi halangan pemain Laos, Somphoupheth Santi (dua dari kiri) ketika aksi Kumpulan A Sukan SEA KL2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Hairul Anuar Rahim


PASUKAN Malaysia bersorak bersama penyokong Malaysia selepas menewaskan pasukan Laos 3-1 pada aksi perlawanan bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Asyraf Hamzah

Bagaimanapun, pemain negara kembali di depan selepas bola sepakan kapten, Adib Zainudin tertampan pertahanan Laos sebelum menerjah gawang sendiri.

Syafiq hampir menambah gol ketiga Malaysia, namun percubaannya dari luar kotak penalti pada minit ke-71 sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol.

Laos turut melakukan beberapa gerakan dan percubaan ke kubu Malaysia untuk menyamakan kedudukan namun tidak berhasil.

Sebaliknya, Jafri terus menambah derita Laos apabila meledak gol ketiga Malaysia pada masa tambahan selepas merembat masuk bola hantaran Akhyar Abdul Rashid.

Berita Harian X