Rabu, 23 Ogos 2017 | 12:03am
PEMAIN Syria, Mahmoud Al Mawas (tengah) diasak pemain Malaysia, Mohd Aidilzafuan Abd Razak (dua dari kiri) dalam aksi persahabatan antarabangsa kategori A di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Malaysia tewas aksi persahabatan kepada Syria

MELAKA: Skuad Harimau Malaya tewas tipis 1-2 kepada Syria dalam aksi persahabatan antarabangsa kategori A yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam ini.

Syria bermula garang apabila melakukan beberapa asakan terhadap kubu pertahanan negara, namun cubaan berbahaya yang dilakukan kapten pasukannya, Firas Al-Khatib pada minit ke-16 melepasi palang gol.

Skuad Harimau Malaya gagal menggunakan peluang keemasan apabila sepakan lemah Baddrol Bakhtiar pada minit ke-32 diselamatkan penjaga gawang Syria, Ibrahim Alma.

Usaha skuad negara mencari memecah kebuntuan sekali lagi dinafikan Syria apabila sepakan deras Badrol di dalam kotak penalti pada minit ke-38 didakap kemas Ibrahim.


PEMAIN Malaysia, Mohd Syazwan Zainon (kanan) diasak pemain Syria, Yousef Al Hamwi dalam aksi persahabatan antarabangsa kategori A di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam ini. - Foto Khairunisah Lokman

Bersambung babak kedua, Syria terus mengatur serangan ke kubu skuad negara, namun cubaan deras Mahmoud Al-Mawas ditepis penjaga gawang, Khairul Azhan Mohd Khalid pada minit ke-51.

Pemain tengah Syria, Almarmour Mohammad akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-81 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti sebelum Mohamad Rafat Muhtadi menambah duka kepada tuan rumah selang tiga minit (minit ke-84).

Darren Yee Deng Lok menghadiahkan gol saguhati kepada anak buah Nelo Vingada menerusi sepakan penalti ketika masa tambahan. - BERNAMA


PEMAIN Syria meraikan jaringan pasukan mereka dalam aksi persahabatan antarabangsa kategori A menentang Malaysia di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Berita Harian X