Sabtu, 19 Ogos 2017 | 10:25pm
PENYERANG United, Romelu Lukaku (dua dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan, Paul Pogba (kanan) di Stadium Liberty, malam tadi. - Foto AFP
PAUL Pogba menewaskan penjaga gol Swansea, Lukasz Fabianski untuk gol ketiga United. - Foto EPA
PEMAIN United meraikan kemenangan menewaskan Swansea 4-0 di Stadium Liberty.- Foto REUTERS

Lukaku meledak lagi

SWANSEA, United Kingdom: Manchester United meneruskan permulaan cemerlang di awal musim saingan Liga Perdana Inggeris apabila merakam kemenangan kedua dengan menewaskan Swansea City 4-0, di Liberty Stadium sebentar tadi.

Gol jaringan Eric Bailly, Romelu Lukaku, Paul Pogba dan Anthony Martial memberi bayangan kekuatan di bahagian serangan United selepas meledak jumlah gol yang sama ketika membenam West Ham United, sebelum ini.

Namun, United terpaksa menunggu ke penghujung babak pertama untuk meledak gol pertama hasil jaringan Bailly - gol pertamanya untuk kelab sebelum memulakan pesta jaringan tiga gol dalam tempoh empat minit di babak kedua.

Lukaku meledak gol kedua pasukan pada minit ke-80, sebelum Pogba bijak memperdayakan penjaga gawang Swansea untuk gol ketiga, dua minit kemudian.

Pemain gantian, Martial melengkapkan jaringan keempat United ketika aksi berbaki enam minit. Pemain ini, bijak memanfaatkan hantaran pendek Pogba untuk melepaskan rembatan bola rendah di penjuru kiri gawang Swansea.

Ketika ini, skuad bimbingan Jose Mourinho mengumpul enam mata daripada dua perlawanan dengan lapan jaringan tanpa bolos. - AFP


ROMELU Lukaku menewaskan penjaga gol Swansea, Lukasz Fabianski untuk gol kedua United. - Foto Reuters

Berita Harian X