Jumaat, 18 Ogos 2017 | 8:00am
ALEXIS Sanchez. - Foto AGENSI

Chile senarai Sanchez jumpa Paraguay, Bolivia

SANTIAGO: Chile menyenaraikan penyerang Arsenal, Alexis Sanchez dalam skuad negara itu untuk aksi kelayakan Piala Dunia menentang Paraguay dan Bolivia.

Jurulatih, Juan Antonio Pizzi mengumumkan senarai pasukannya sebentar tadi.

Sanchez belum pernah diturunkan lagi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal musim ini selepas mengalami masalah di bahagian otot perut.

Dia terlepas kemenangan kelab ke atas Chelsea pada aksi Perisai Komuniti selain tidak disenaraikan pada perlawanan pembukaan liga menentang Leicester City dan turut dijangka digugurkan untuk kunjungan ke Stoke City, esok.

Sanchez adalah seorang daripada 19 pemain mempunyai karier di luar negara, berada dalam skuad Pizzi, yang pastinya akan menjadi tonik semangat buat pemain berpangkalan di peringkat domestik.

Sebelum itu, nama Sanchez berada dalam senarai 24 pemain dalam anugerah Pemain Terbaik FIFA yang turut disertai rakan senegaranya dari Chile, Arturo Vidal.

Chile melayan kunjungan Paraguay pada 31 Ogos ini sebelum bertemu Bolivia di La Paz, lima hari kemudian. Mereka kini berada di kedudukan keempat kelayakan Amerika Selatan, satu mata di depan Argentina.

Empat pasukan teratas layak secara automatik ke Piala Dunia manakala penghuni tangga kelima perlu beraksi perlawanan play-off dengan sebuah pasukan dari Oceania.

Senarai pemain Chile:

Penjaga gol: Claudio Bravo (Manchester City)

Pertahanan: Mauricio Isla (Fenerbahce), Enzo Roco (Cruz Azul), Eugenio Mena (Sport Recife), Paulo Diaz (San Lorenzo), Gary Medel (Besiktas), Osvaldo Gonzalez (Toluca).

Tengah: Francisco Silva (Cruz Azul), Charles Aranguiz (Bayer Leverkusen), Felipe Gutierrez (Internacional), Arturo Vidal (Bayern Munich), Pedro Pablo Hernandez (Celta de Vigo), Marcelo Diaz (Celta de Vigo), Leonardo Valencia (Botafogo).

Penyerang: Alexis Sanchez (Arsenal), Eduardo Vargas (Tigres), Nicolas Castillo (Pumas UNAM), Edson Puch (Pachuca), Fabian Orellana (Valencia).

- Reuters

Berita Harian X