Jumaat, 4 Ogos 2017 | 7:48am

Everton, AC Milan teruskan kemaraan

PARIS: Pemain muda Dominic Calvert-Lewin masuk daripada bangku simpanan untuk menyambar gol yang membantu Everton mencatat kemenangan 1-0 di tempat lawan ke atas Ruzomberok awal pagi tadi sekali gus mara ke saingan Liga Europa.

Calvert-Lewin, yang turut menjaringkan gol kemenangan skuad Bawah-20 tahun England di Piala Dunia Jun lalu, masuk menggantikan Sandro Ramirez pada babak kedua sebelum tenang menyempurnakan penyudah ketika permainan berbaki 10 minit di Stadion pod Cebratom.


PEMAIN muda Everton, Dominic Calvert-Lewin (kanan) melepasi halangan pemain Ruzomberok, pada saingan Liga Europa awal pagi tadi. - Foto Reuters

Jaringan itu membolehkan The Toffees meraih kemenangan agregat 2-0 pada pusingan kelayakan ketiga selepas bergelut untuk menumpaskan pasukan tangga ketiga liga Slovakia itu.

Juara tujuh kali Eropah, AC Milan turut mara dengan kemenangan agregat 3-0 ke atas Universitatea Craiova selepas mengetepikan lawannya itu 2-0 dalam aksi kedua di San Siro.

Giacomo Bonaventura dan penyerang muda Patrick Cutrone muncul penjaring dua gol buat tuan rumah yang tampil lebih meyakinkan berbanding aksi pertama di Romania.

Dalam pada itu, naib juara 2012 Athletic Bilbao mudah mengetepikan Dinamo Bucharest 3-0 hasil dua gol Raul Garcia untuk mara dengan kemenangan agregat 4-1.

Zenit St Petersburg, Red Star Belgrade, Panathinaikos dan Fenerbahce turut muncul antara pasukan yang meneruskan kemaraan. - AFP

Berita Harian X