Khamis, 3 Ogos 2017 | 5:53pm
MATTHEW Davies (kanan) ketika beraksi pada Piala AFF 2016. - Foto Osman Adnan

KL2017: Kim Swee panggil tiga muka baharu

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan 27 pemain untuk menyertai latihan pusat bermula Ahad ini.

Kem latihan kali ini adalah bagi persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula 14 Ogos ini dan senarai akhir 20 pemain dijangka akan diumumkan Kim Swee pada 12 Ogos nanti.

Berdasarkan senarai yang diumumkan hari ini, empat pemain daripada skuad 22 pemain yang menyertai kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Bangkok, Thailand, bulan lalu - Ahmad Solehin Mamat, L Kalaiharasan, Fauzan Fauzi dan Nur Shamie Iszuan Amin digugurkan untuk kem latihan kali ini.

Susulan daripada itu, Kim Swee memanggil semula lima pemain yang pernah bersama ketika siri latihan dan perlawanan persahabatan di China pada 8 hingga 16 Jun lalu iaitu Syamer Kutty Abba, S Kumaahran, Haziq Nadzli, Safawi Rasid dan Tommy Mawat Bada.

Turut tersenarai, tiga pemain yang buat pertama kalinya bakal menyertai kem latihan pusat skuad B-22 sejak di bawah kendalian Kim Swee iaitu Matthew Davies, Nor Azam Abdul Azih dan Dominic Tan.

"Ini barisan terbaik yang dapat saya kumpulkan kecuali terpaksa menggugurkan Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak) yang didapati tidak sempat cergas sepenuhnya menjelang Sukan SEA 2017 ini.

"Bagi saya, senarai 27 pemain ini barisan pemain yang lebih baik berbanding skuad 22 pemain ketika kita ke Bangkok bagi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018, tempoh hari," kata Kim Swee.

60 dibaca
Berita Harian X