Selasa, 1 Ogos 2017 | 11:19pm
PEMAIN JDT, Mohd Azrif Nasrulhaq (dua dari kanan) diasak pemain Terengganu, Nasrullah Haniff Johan (kanan) pada aksi Piala Malaysia Kumpulan D, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JDT berpesta gol di Larkin

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas membelasah Terengganu 5-0 pada aksi Kumpulan D di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Harimau Selatan memimpin seketika Kumpulan D dan berkongsi 10 mata dengan Selangor yang akan beraksi menentang Sarawak, esok.

JDT dan Selangor akan bertembung pada 9 September ini di Larkin dalam perlawanan penutup tirai peringkat kumpulan D dan akan menentukan pasukan mana bakal bergelar juara kumpulan.

Tanpa kelibat Marcos Antonio yang terpaksa diketepikan untuk tempoh yang lama akibat kecederaan lutut kiri menyaksikan Junior Eldstal bergandingan dengan Mohd Fadhli Shas mengemudi benteng pertahanan tengah.

Pengendali JDT, Ulisses Morais membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan menurunkan kesemua pemain tempatan namun masih mampu memberi tekanan kepada benteng skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

Dalam aksi tadi, tindakan Abdul Latiff Suhaimi menarik Azammudin Akil di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajudin tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-18.

Safawi Rasid yang mengambil sepakan itu mudah merembat kencang bola tepat ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol, Muhd Syazwan Yusoff untuk meletak tuan rumah mendahului 1-0.

Anak didik Morais terus rakus mengasak ke kubu skuad Penyu sehingga memaksa Martin Alves dan Mohd Izuan Jarudin bekerja keras mengekang asakan tuan rumah.

Ketika aksi memasuki minit ke-38, sepakan sudut Safawi tepat kepada Mohd Fadhli yang melonjak tinggi untuk menanduk bola kemas tepat menerjah jaring untuk gol kedua JDT.

S Kunanlan turut mencetak selaku penjaring pada minit akhir babak pertama selepas bola rembatan dari luar kotak penalti mengelirukan Muhd Syazwan yang sekadar melihat bola menggegar jaring.

Bersambung di babak kedua, tuan rumah meraih gol keempat selepas bola hantaran jauh Safawi tepat kepada Ahmad Hazwan Bakri yang mudah merembat bola leret menewaskan Muhd Syazwan pada minit ke-49.

Pemain gantian, Darren Lok melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan apabila menjaringkan gol pada minit ke-80 selepas menanduk bola sepakan lintang pemain gantian, Gabriel Guerra.

Berita Harian X