Isnin, 31 Julai 2017 | 7:38am

Zenit raih kemenangan ketiga

MOSCOW: Alexander Kokorin meledak gol awal bagi memastikan rentak kemenangan Zenit St Petersburg dalam kempen Liga Perdana Russia berterusan dengan menewaskan kelab yang baru dinaikkan pangkat Tosno 1-0, awal pagi tadi.

Kemenangan meletakkan kelab bimbingan Roberto Mancini itu berkongsi kedudukan teratas bersama Lokomotiv Moscow dan Akhmat Grozny selepas masing-masing meraih tiga kemenangan berturut-turut.

"Saya gembira dengan semangat pemain," " kata Mancini yang juga bekas pengurus Manchester City.

"Mereka beraksi pada tahap terbaik untuk memastikan kemenangan ke atas lawan yang kuat."

Begitupun, Zenit mendominasi pertemuan tetangga utara Russia itu sejak awal permainan dengan Kokorin menjaringkan gol seawal minit ke-10.

Berpunca daripada hantaran Oleg Shatov ke kawasan penalti, Kokorin dengan tenang menyumbat masuk bola menewaskan penjaga gol Tosno, David Yurchenko.

Ia adalah gol ke-50 penyerang berusia 26 tahun itu dalam kempen Liga Perdana Russia dan ketiga musim ini.

Sementara itu, Lokomotiv Moscow mengekalkan permulaan sempurna selepas mencatat kemenangan sukar 1-0 ke atas Anzhi Makhachkala.

Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, tuan rumah meningkatkan rentak permainan namun jaringan hanya diperoleh pada minit ke-81 menerusi pemain Portugal, Manuel Fernandes.

"Ia bukan permainan terbaik kami musim ini," kata jurulatih Lokomotiv, Yury Semin. "Bagaimanapun, kami berjaya menjaringkan gol dan meraih tiga mata dan itu paling utama." - AFP

Berita Harian X