Isnin, 24 Julai 2017 | 11:36pm
TONGGAK pertahanan Southampton, Virgil van Dijk. - Foto AFP

Southampton ketepikan van Dijk

LONDON: Tonggak pertahanan Southampton, Virgil van Dijk diketepikan daripada latihan pasukan di Perancis, susulan meningkatnya spekulasi pemain Belanda itu akan meninggalkan pasukan menjelang jendela perpindahan pemain musim panas ini.

Pemain berusia 26 tahun itu dikaitkan akan berpindah ke Liverpool walaupun kelab Merseyside berkenaan secara rasmi mengumumkan mereka tidak lagi berminat selepas Southampton melaporkan Liverpool melanggar peraturan untuk mendapatkan pemain.

Southampton tidak mahu menjual Van Dijk tetapi minggu lalu, pengurus pasukan, Mauricio Pellegrino menegaskan bek tengah itu berlatih bersendirian kerana secara mentalnya, dia tidak bersedia 100 peratus.

Van Dijk, yang dianggarkan bernilai 60 juta pound (RM298.9 juta), terlepas aksi persahabatan di Brentford pada Sabtu lalu dan disisihkan daripada senarai 25 skuad Southampton ke Perancis, yang bakal berdepan Saint Etienne, Sabtu ini.

Media British melaporkan Liverpool masih berminat dengan pemain pertahanan itu yang menandatangani kontrak enam tahun di Southampton, tetapi tetap berwaspada jika pesaing mereka juga turut mengemukakan tawaran.

Liverpool sudah memiliki empat bekas tonggak Southampton - melalui peruntukkan 91 juta pound (RM453.4 juta) ke atas Adam Lallana, Dejan Lovren, Nathaniel Clyne dan Sadio Mane sejak 2014. Pemain keenam yang diikat, Rickie Lambert kini sudah pun dijual.

Ketika ini, The Reds berdepan situasi sukar untuk menetapkan pendirian mereka ke atas pemain tengah, Philippe Coutinho.

Jika Van Dijk berpindah ke Anfield, mereka mungkin berisiko hilang Coutinho yang cuba dipikat gergasi Sepanyol, Barcelona. - Reuters

Berita Harian X