Jumaat, 15 November 2019 | 10:23am
Pendapatan peneroka FELDA terjejas jika India memboikot minyak sawit Malaysia. - Gambar hiasan

Peneroka FELDA terjejas jika India boikot sawit

Kecoh baru-baru ini dengan kemungkinan India berhenti mengimport minyak sawit dari Malaysia, susulan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan konflik di wilayah Jammu-Kashmir.

Setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada India, tetapi beberapa pihak seperti Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) sudah menggesa pedagang India untuk berhenti membeli sawit dari Malaysia.

Netizen India juga melawan kenyataan Dr Mahathir dan memulakan kempen #BoycottMalaysia di media sosial dan saluran YouTube.

Sejauh mana isu ini mempengaruhi hubungan dua hala antara India dan Malaysia, belum dikenal pasti. Namun yang paling rugi dalam ‘perang perdagangan kecil’ ini tentunya peneroka FELDA.

Kerajaan Malaysia sudah pun menghadapi bermacam halangan sejak beberapa tahun lalu dalam mengeksport hasil sawit.

Daripada Kesatuan Eropah (EU) yang melobi untuk tidak menggunakan minyak sawit hinggalah harga sawit mentah (CPO) yang semakin menurun, sekarang ini bukanlah waktu yang mudah untuk mengeksport sawit.

Kita tidak berdaya untuk kehilangan mana-mana pembeli sawit sedia ada. Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melaporkan, India adalah pengimport sawit Malaysia yang terbesar dengan 3.91 juta tan pada 2019 sahaja, 2.29 juta tan lebih tinggi berbanding pengimport China (1.62 juta) selaku pengimport kedua terbesar.

Kehilangan India sebagai pengimport sawit terbesar akan memberikan kesan dahsyat kepada peneroka FELDA.

Sesetengah pedagang India sudah memberhentikan import sawit dari Malaysia untuk November dan Disember, serta merancang menukar sumber sawit kepada yang dihasilkan di Indonesia.

Jika isu ini berterusan, tentunya berlaku lambakan sawit yang menggunung jika India berhenti membeli sawit Malaysia, sehingga 400 ribu tan sebulan!

Jika itu terjadi, bagaimana kerajaan akan menampung pendapatan 112,000 peneroka FELDA di seluruh Malaysia yang kebanyakannya bergantung sepenuhnya pada hasil jualan sawit?

Walaupun ada rakyat India tidak bersetuju dengan tindakan ini seperti Jawatankuasa Kongres Tamil Nadu (TNCC), isu ini masih belum nampak penghujungnya.

Dr Mahathir dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok, mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membaik pulih hubungan perdagangan dengan India, demi menjaga kebajikan peneroka FELDA yang kini berada dalam kesempitan.

Sherman SS,
Penasihat ekonomi dan kewangan

Berita Harian X