Khamis, 29 Ogos 2019 | 9:59am

Gubal akta antidiskriminasi kaum demi perpaduan negara

Malaysia sebagai negara yang terdiri masyarakat berbilang kaum, harus mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani isu diskriminasi kaum.

Isu ini di Malaysia bukanlah suatu perkara baharu, malah su dah merebak seperti barah dalam segenap lapisan masyarakat.

Konflik yang membabitkan diskriminasi kaum melingkari setiap aspek kehidupan masyarakat, sama ada dalam kehidupan kejiranan, pusat pengajian, di tempat kerja atau di tempat awam.

Perpaduan kaum adalah faktor penting untuk negara ini mencapai status negara maju dan ia tidak akan menjadi kenyataan jika gejala diskriminasi kaum ini tidak ditangani sebaiknya.

Akta antidiskriminasi sudah dilaksanakan di pelbagai negara maju seperti Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Hong Kong, Belanda, New Zealand, Poland, Russia, United Kingdom, Amerika Syarikat. Jadi ia wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan di negara ini asalkan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Akta ini sememangnya tidak akan mampu membanteras semua gejala diskriminasi kaum di Malaysia seperti diungkapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Namun ia salah satu langkah ke hadapan yang boleh dilaksanakan segera untuk menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan perpaduan kaum di negara ini terus terpelihara.

Na'im Brundage,
Ketua Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan

Berita Harian X