Khamis, 18 Julai 2019 | 11:23am
Penunggang motosikal menggunakan laluan kereta di Lebuhraya Persekutuan dan tidak menggunakan laluan motosikal. - Foto Hafiz Sohaimi

Pemandu, penunggang motosikal perlu tolak ansur

Isu laluan motosikal yang disiarkan BH baru-baru ini seharusnya dipandang serius pihak kerajaan memandangkan perkara terbabit mempunyai kaitan dengan keselamatan pengguna, sama ada penunggang motosikal sendiri mahu pun pemandu kenderaan lain.

Tidak dinafikan kehadiran motosikal di laluan utama mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pemandu kereta atau kenderaan lain yang melihat rata-rata penunggang bersikap mementingkan diri ketika di jalan raya.

Sedangkan jika diperhatikan sudah hampir semua jalan raya di sekitar ibu kota dan bandar utama lain di negara ini memiliki laluan motosikal bertujuan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Malangnya keadaan laluan yang rosak, sempit dan gelap terutama pada waktu malam menjadi antara punca penunggang motosikal tidak menggunakan laluan khas yang disediakan.

Sehubungan itu, cadangan untuk menaik taraf dan menyelenggara laluan motosikal supaya dalam keadaan lebih baik dan selamat amat dialu-alukan demi kepentingan semua pihak.

Di pihak pemandu pula, perlu ada toleransi dengan pengguna jalan raya lain termasuk mengetahui jarak selamat antara kenderaan yang dipandu dengan motosikal apabila berkongsi lorong.

Paling penting penunggang motosikal seharusnya turut berhemah ketika berada di jalan raya dan tidak mengamalkan sikap seperti memaksa pengguna lain untuk menjaga keselamatan anda.

Sebagai rakyat yang bertamadun, tolak ansur ketika memandu dan sikap prihatin mampu untuk mengurangkan risiko kemalangan yang bahayanya bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga pengguna lain.

Pemandu berhemat
Petaling Jaya

Berita Harian X