Rabu, 17 Julai 2019 | 11:25am
Malaysia Airlines ikon negara yang dikenali seluruh dunia. - Gambar hiasan

Malaysia Airlines perlu kekal jadi ikon negara

Sebagai pelanggan setia syarikat penerbangan Malaysia selama lebih 40 tahun, tidak mungkin saya hanya akan berpeluk tubuh melihat apa bakal berlaku kepada syarikat itu dan warga kerjanya.

Saya amat berharap kerajaan membuat keputusan rasional dan tepat mengenai masa depan syarikat penerbangan negara itu tanpa melupakan sumbangan warga kerjanya sejak sekian lama.

Walaupun ramai berpendapat Malaysia Airlines Berhad (MAB) perlu diswastakan, saya berharap ia tidak akan membabitkan pemberhentian pekerja. Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan jenama MAB atau lebih dikenali sebagai MAS, dikekalkan sebagai ikon kebanggaan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan bersedia melepaskan pegangan ‘majoriti’ dalam MAB dengan syarat iaitu identiti syarikat penerbangan itu dikekalkan dan tiada pemberhentian pekerja.

Bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin, turut berpandangan sama selain berharap kerajaan kekal memegang kepentingan majoriti.

Ramai berpendapat usaha pemulihan Malaysia Airlines tidak seharusnya membabitkan penswastaan penuh selain kerajaan perlu mengekalkannya sebagai syarikat penerbangan nasional.

 Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, dilaporkan berkata, empat inisiatif pemulihan oleh kerajaan membabitkan kos hampir RM 25 bilion termasuk pemberhentian 6,000 pekerja sebagai gagal.

Ini membuktikan pemberhentian pekerja bukan cara terbaik memulihkan MAB. Sebarang rancangan perlu adil kepada kakitangan demi menghargai sumbangan mereka dalam membina syarikat menjadi ikon negara. Mereka bukan saja bersama MAB ketika di puncak malahan sanggup mengharungi kepayahan ketika syarikat berhadapan pelbagai masalah.

  Prinsip keadilan dan belas kasihan perlu dijadikan pedoman dalam usaha penstrukturan syarikat kerana sebelum ini ada di antara kakitangan diberhentikan berhadapan pelbagai masalah kewangan akibat kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu.

Saya percaya perlu ada pelan pemulihan segera dan jangka panjang yang mampu membantu syarikat mengukuhkan operasi serta kedudukan kewangan demi cabaran semasa dan hadapan.

Kerajaan boleh mendapatkan input daripada pengurusan MAB dan pakar berkaitan termasuk ahli ekonomi serta kapten industri yang sudah terbukti hebat menyelamatkan syarikat besar yang bermasalah sebelum ini.

Malaysia tidak kurang memiliki pakar ekonomi dan tokoh korporat yang juga tersohor di seluruh dunia. Saya percaya MAB mampu kembali ke landasan betul menerusi sokongan kuat pakar ekonomi, kakitangan dan penumpang setia, kerajaan dan swasta serta seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun pelbagai cabaran dihadapi syarikat, warga kerja MAB terus komited walaupun keistimewaan dan faedah dinikmati sebelum ini sudah tiada manakala bilangan anak kapal dalam penerbangan turut dikurangkan.

MAB turut memenangi beberapa anugerah termasuk penarafan lima bintang Skytrax dan anugerah Kru Kabin Terbaik di Dunia selain anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia pada Anugerah Perjalanan Antarabangsa Persatuan Antarabangsa Penulis Perjalanan Kawasan Pasifik (PATWA) awal tahun ini.

 Perlu diingati, pesawat MAB bukan saja menerbangkan penumpang ke destinasi dikehendaki tetapi juga pembawa bendera negara selain mempromosikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum yang aman dan makmur.

MAB adalah ‘instrumen’ polisi penting dan pemacu utama ekonomi selain menjadi aset strategik yang tidak seharusnya diketepikan begitu saja.

Tan Sri Lee Lam Thye

Berita Harian X