Rabu, 17 Julai 2019 | 11:21am
- Gambar hiasan

Pengeluar minuman keras tiada sensitiviti

Tindakan syarikat pengeluar minuman keras yang mengiklankan produk arak tanpa alkohol dilihat sengaja bertujuan mengelirukan masyarakat di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Malah, penggunaan slogan ‘kini semua orang boleh minum’ memperlihatkan sikap tidak sensitif pengeluar minuman terbabit seolah-olah cuba ‘memancing’ lebih ramai menggunakan produk berkenaan termasuk umat Islam.

Syarikat terbabit sengaja menggunakan strategi pemasaran licik dan mengelirukan demi menghalalkan produk keluaran mereka kepada masyarakat Islam di negara ini, terutama generasi muda dan remaja.

Jualan secara terbuka termasuk di rangkaian kedai serbaneka dibimbangi mampu menarik mereka di bawah umur mencuba minuman berkenaan kerana beranggapan ia halal dan tidak melanggar hukum agama.

Seharusnya pihak pengeluar perlu mendapatkan pandangan atau nasihat daripada pihak berkuasa agama di negara ini sebelum menyiarkan iklan berkenaan, manakala pihak pengiklan pula perlu lebih peka dan sensitif dalam perkara berkenaan.

Tambahan pula, penyediaan minuman terbabit dikatakan sama seperti proses membuat arak dan tetap disifatkan haram, walaupun alkohol yang terhasil daripada penyediaan itu sudah disulingkan.

Selepas perkara ini tular dan mendapat perhatian masyarakat, mereka kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa minuman berkenaan bukan untuk orang Islam

Hakikatnya, tujuan penghasilan minuman berkenaan adalah sama iaitu menghasilkan minuman dengan rasa yang hampir sama kecuali tidak mengandungi alkohol. Sebagai umat Islam juga tidak seharusnya kita menyokong syarikat yang mengeluarkan produk minuman memabukkan.

Diharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang cubaan untuk mengelirukan masyarakat negara ini yang sememangnya gemar mencuba sesuatu yang baharu dan tular.

Ahlan,
Ipoh, Perak

Berita Harian X