Sabtu, 29 Jun 2019 | 9:45am
- Gambar hiasan

Syor buka klinik bantuan guaman di setiap sekolah

Mengambil kira pelbagai jenis masalah dihadapi guru serta pentadbir sekolah, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mempertimbangkan cadangan mewujudkan sebuah klinik bantuan guaman di setiap sekolah, atau sekurang-kurangnya di setiap jabatan pendidikan di daerah atau negeri.

Ini penting bagi membantu pihak berkaitan di sekolah khususnya guru dan pentadbir untuk mendapatkan sebarang jenis khidmat nasihat ataupun bantuan dari sudut perundangan.

Kita seringkali didedahkan pelbagai berita membabitkan masalah disiplin pelajar, selain laporan dibuat ibu bapa atau penjaga yang tidak berpuas hati ke atas guru yang menjalankan kerja mereka di sekolah.

Jejas fokus guru

Jika isu ini tidak diatasi dengan baik, ia pasti akan menjejaskan fokus guru serta pentadbir sekolah dalam mendidik pelajar.

Sebelum ini Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) ada mencadangkan agar KPM melaksanakan segera ‘Kod Etika Ibu Bapa’ untuk melindungi guru, selain mengharmonikan hubungan antara pihak sekolah khususnya guru dengan ibu bapa.

Dengan adanya kod etika berkenaan ia dapat memastikan maruah dan emosi guru tidak terjejas akibat tekanan berpunca daripada serangan atau tindakan pihak ibu bapa terhadap mereka.

Namun pada masa sama keperluan terhadap klinik bantuan guaman di sekolah tidak boleh dinafikan, mengambil kira tugas dan beban dipikul guru semakin hari semakin mencabar.

Sikap ibu bapa sendiri yang lebih gemar membela bermati–matian anak mereka sehingga tidak dapat melihat kebenaran atau hakikat sebenar, memberi cabaran besar buat guru. Lebih menyedihkan ada guru diugut dengan pelbagai tindakan undang-undang seperti saman hanya kerana mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar.

Tawar nasihat perundangan

Sikap sebegini menyukarkan tugas guru. Akhirnya, pelajar itu sendiri yang menjadi mangsa sehingga terjebak kegiatan jenayah lebih berat.

Kewujudan klinik bantuan guaman di sekolah bukan sekadar sebagai pusat rujukan, ia juga berperanan menawarkan nasihat umum berkaitan aspek perundangan semasa khususnya mengenai langkah yang boleh diambil sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Pada masa sama, tahap celik pihak sekolah mengenai aspek perundangan juga dapat dipertingkatkan.

Dr Muzaffar Syah Mallow,
Penyelaras Klinik Bantuan Guaman, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X