Rabu, 26 Jun 2019 | 9:13am
Keratan akhbar BH pada 22 dan 23 Jun lalu.

Perlu ada tolak ansur majikan dan pekerja

Cadangan Kementerian Sumber Manusia memperkenal cuti paterniti selama tiga hari kepada golongan bapa yang bekerja di sektor swasta menunjukkan sikap prihatin kerajaan terhadap permintaan dan kebajikan pekerja.

Kami sebagai pekerja bagaimana pun agak kecewa dengan maklum balas negatif diberikan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Alasan MEF bahawa cuti wajib selama tiga hari itu akan memberi kesan kepada kos operasi syarikat tidak sepatutnya berlaku dan menunjukkan sikap tidak prihatin mereka terhadap kebajikan golongan pekerja.

Pihak majikan seharusnya tidak mempunyai masalah melaksanakan perkara ini dan
melihatnya sebagai kebajikan untuk pekerja yang turut memainkan peranan dalam memberikan sumbangan terbaik kepada syarikat tempat mereka bekerja.

Jika dilihat Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2014 menunjukkan 79 daripada 167 negara sudah memperuntukkan cuti paterniti kepada pekerja.

Malah, negara seperti Filipina dan Singapura menetapkan cuti selama dua minggu kepada golongan suami selepas isteri mereka melahirkan anak.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa cuti paterniti sebenarnya mampu membantu memperkukuhkan institusi kekeluargaan selain mengambil kira kebajikan isteri dan wanita sendiri selepas melahirkan anak.

Alasan tak munasabah

Tempoh tiga hari disifatkan amat penting bagi suami dalam menguruskan kelahiran ahli keluarga baharu selain menguruskan isteri di hospital yang pastinya memerlukan perhatian dan bantuan, terutama bagi pasangan yang kali pertama mendapat cahaya mata.

Alasan MEF bahawa suami boleh berdampingan dengan isteri dan anak baru lahir selepas waktu bekerja, cuti hari minggu atau cuti umum dilihat sebagai alasan yang cukup tidak munasabah memandangkan tempoh tiga hari pertama itu adalah berbeza dengan hari biasa yang lain.

Sebagaimana pekerja perlu menunaikan kewajipan mereka terhadap majikan, majikan juga perlu memberikan perkara yang sama kepada pekerja.

Seharusnya majikan perlu memiliki timbang rasa, tolak ansur dan perikemanusiaan demi meringankan beban pekerja selain mengurangkan tekanan atau masalah peribadi mereka yang pastinya boleh menjejaskan prestasi kerja.

Azri Osman
Serdang, Selangor

305 dibaca
Berita Harian X