Rabu, 8 Mei 2019 | 10:54am
Sektor pembinaan mampu memberikan pendapatan lumayan kepada rakyat tempatan. - Foto hiasan

Rakyat tempatan 'dimanjakan' pekerja asing

Merujuk kenyataan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei lalu mengenai sikap rakyat kita yang memilih kerja tertentu sehingga peluang yang ada direbut pekerja asing, memang ada benarnya.

Sejak kita membuka pintu kepada kemasukan buruh asing, penduduk tempatan sudah enggan lagi melakukan kerja yang dikategorikan sebagai sektor 3D iaitu industri kotor, berbahaya dan sukar.

Mereka mula memandang rendah terhadap bidang kerja seperti ini dan menganggap pekerjaan terbabit hanya layak untuk dilakukan oleh golongan pekerja asing.

Pendapatan lumayan

Hakikatnya sektor seperti pembinaan boleh disifatkan mampu memberikan pendapatan yang cukup lumayan kepada rakyat tempatan, berbanding kerja lain seperti operator pengeluaran di kilang.

Sayang sekali tidak ramai rak-yat tempatan yang mengambil peluang daripada perkembangan pesat sektor pembinaan negara yang memerlukan tenaga kerja yang ramai dalam bidang ini.

Akibatnya peluang yang ada direbut pekerja asing, walaupun mereka sebenarnya tidak memiliki kemahiran atau terlatih dalam bidang berkenaan.

Sama ada setuju atau tidak, kebergantungan negara terhadap buruh asing menyebabkan rakyat mula bersikap memilih dalam pekerjaan dan tidak mahu disamakan taraf kerja mereka dengan pekerja asing.

Seharusnya pemikiran sebegitu perlu diubah. Lihat saja contoh negara seperti Australia dan kebanyakan negara Eropah yang tidak bergantung kepada tenaga asing.

Mungkin rakyat kita sudah terlalu dimanjakan dengan kehadiran pekerja asing sehingga berfikiran bahawa kerja kotor, bahaya dan sukar hanya untuk buruh asing dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal.

Ubah pemikiran

Sudah tiba masanya untuk mengubah pemikiran rakyat kita dalam memilih kerja dengan melakukan pendedahan awal di peringkat sekolah, seiring dengan dasar kerajaan yang memberi keutamaan kerja kepada warga negara tempatan.

Diharapkan dengan cara ini sedikit demi sedikit penerimaan kita lebih positif, sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

Buruh tempatan,
Serdang, Selangor.

1114 dibaca
Berita Harian X