Khamis, 2 Mei 2019 | 11:58am
- Gambar hiasan

Pendedahan awal pendidikan seks bermula daripada ibu bapa

Merujuk artikel Berita Harian Online bertajuk ‘Pendidikan Seks, Kekang Hamil Luar Nikah’ pada 10 Mac lalu, cadangan pendedahan awal pendidikan seks dan reproduktif bagi mengurangkan jumlah hamil luar nikah dalam kalangan remaja dianggap usaha proaktif.

Inisiatif ini wajar dilaksanakan ibu bapa sendiri, namun apa yang berlaku sebaliknya. Seperti disarankan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, idea itu sudah lama dilontarkan, tetapi selalu dipandang negatif.

Mungkin sesetengah ibu bapa terlalu konservatif dan menganggap perkara berkaitan seksual sebagai ‘taboo’ yang bertentangan norma masyarakat.

Sudah tiba masanya ibu bapa melihatnya sebagai tanggungjawab berbanding mengharapkan penyelesaian pihak lain. Bagi memastikan isu keruntuhan akhlak dapat dibendung, pendedahan pendidikan seks seawal usia oleh ibu bapa penting, kerana mereka mempunyai pengetahuan asas dan layak bercakap mengenainya.

Ibu bapa dilihat meletakkan jarak antara diri mereka dengan anak. Mungkin mereka tidak mempunyai skil komunikasi berkesan dan malu untuk bercakap mengenai isu seksual. Akhirnya perkara ini menjurus kepada isu moral seperti kes buang bayi, seks bebas. Kesannya ibu bapa juga dipersalahkan.

Bercakap soal pendidikan seks, bukan bermaksud cuba menggalakkan muda menjalankan aktiviti tidak bermoral. Pendidikan seks cuba disampaikan tidak hanya tertumpu perlakuan seks semata–mata, namun meliputi pelbagai aspek seperti biologikal, intelektual, emosi, sosial dan spiritual.

Pendidikan seks dituntut agama untuk memastikan mereka dapat membezakan perkara halal dan haram.

Media sosial hari ini menyajikan pelbagai maklumat yang tidak mampu disekat dan anak zaman moden terlalu ‘maju’ dalam mendapatkan penjelasan tentang sesuatu perkara.

Lambakan aplikasi temu janji seperti Grindr, Tinder, OkCupid dan sebagainya turut menjadi pendorong kepada isu seks bebas dan kehamilan luar nikah.

Jika dilihat masalah sosial dalam kalangan generasi muda sekarang, kebanyakan faktor disebabkan kelonggaran ibu bapa mengawal tingkah laku serta perhubungan anak mereka.

Kita tidak tahu apa yang dilayari mereka. Kita tidak mahu apabila hamil, mereka akan cari cara mudah dengan bertanya ‘Google’ cara untuk gugurkan kandungan”.

Saya sentiasa percaya ibu bapa suri teladan kepada anak–anak. Seperti peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Ibu bapa harus sentiasa terbuka dan berani memikul tanggungjawab dan bersama membantu menyelesaikan isu ini.

Nur Amirah Abd Rani
Kuala Lumpur

149 dibaca
Berita Harian X