Khamis, 2 Mei 2019 | 11:21am
Pertubuhan Keilmuan Nasional menyeru semua kaum menghormati prinsip yang menjadi batu asas kepada pembinaan negara dan tidak sesekali mempertikaikan hak kaum Bumiputera termasuk isu kuota kemasukan ke Program Matrikulasi. - Gambar hiasan

Dasar berasaskan kaum tak dikekang had masa

Pertubuhan Keilmuan Nasional kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan keputusan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan bilangan tempat di Program Matrikulasi kendaliannya dari 25,000 kepada 40,000 tempat, serta mengekalkan kuota kemasukan 90 peratus untuk Bumiputera dan 10 peratus untuk bukan Bumiputera.

Pihak yang mempertikaikan dasar berasaskan kaum diamalkan di Malaysia ini mengatakan ia tidak lagi relevan di masa ini, memandangkan peratus pencapaian Bumiputera dalam bidang pendidikan semakin meningkat.

Mereka cuba menangguk di air keruh dengan bertopengkan slogan 'Malaysia Baharu' untuk mendesak kerajaan, dengan alasan diberikan kononnya dasar ini sudah diguna pakai sejak sekian lama dan seharusnya dirombak.

Ingin ditegaskan dasar berasaskan kaum seharusnya tidak ada had masa. Ia perjanjian termaktub dalam kontrak sosial yang menjadi satu bentuk persefahaman antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera, semasa pembentukan negara pada 1955.

Ia adalah timbal balas kepada keterbukaan Bumiputera untuk menerima kaum bukan Bumiputera sebagai warga negara Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, sebelum dikembangkan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

Walaupun Keilmuan Nasional mengakui Bumiputera ketinggalan dalam banyak bidang sejak kemerdekaan negara hingga hari ini, dasar berasaskan kaum ini tidak digubal atas alasan itu. Sebaliknya ia perjanjian timbal balas seperti disebutkan. Justeru, ia tidak ada had masa seperti didakwa.

Kita percaya dasar ini mesti kekal sebagai status quo. Kesefahaman dicapai bersama pemimpin terdahulu dan menjadi asas penubuhan negara harus difahami secara lebih mendasar oleh keseluruhan rakyat agar tidak menimbulkan ketegangan antara kaum serta mencemarkan prinsip kesetiaan dan semangat setiakawan diamalkan sejak lebih 60 tahun.

Keilmuan Nasional mengingatkan agar semua kaum menghormati prinsip ini yang menjadi batu asas kepada pembinaan negara dan tidak sesekali mempertikaikan hak kaum Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk isu kuota kemasukan ke Program Matrikulasi yang menjadi polemik baru-baru ini.

Mohd Faizal Zulkifly
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Keilmuan Nasional

Berita Harian X