Jumaat, 19 April 2019 | 10:33am
Projek ECRL mampu mengubah gaya hidup rakyat di luar bandar. - Foto hiasan

ECRL dinantikan warga Pantai Timur

KEPUTUSAN kerajaan untuk menyambung semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sememangnya diterima kami penduduk Pantai Timur yang sejak sekian lama mengharapkan perubahan dan pembangunan lebih baik di wilayah ini.

Seperti yang disarankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, saya percaya ramai penduduk Pantai Timur yang mahu melihat kerajaan negeri masing-masing memanfaatkan peluang daripada projek ini.

Lebih menggembirakan kami sebagai rakyat, janji kerajaan untuk memastikan jajaran baharu ECRL ini mengutamakan kepentingan warisan dan penjagaan alam sekitar apabila ia tidak akan merentasi Banjaran Titiwangsa yang kaya dengan pelbagai khazanah termasuk hutan simpan.

Paling penting, kita sebagai rakyat merasakan pelaksanaan projek dengan pengurangan daripada kos asal menunjukkan komitmen kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Dilihat dari sudut ekonomi, sudah pastinya projek ini memberi impak besar terutama kawasan luar bandar di ketiga negeri yang terbabit dengan laluan keretapi yang bakal mengurangkan masa perjalanan pergi dan balik antara ibu kota dengan pantai timur Semenanjung.

Bayangkan jika selama ini perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu akan mengambil masa purata lapan jam dapat dikurangkan kepada hanya empat jam.

Tentunya projek ini dinanti-nantikan anak negeri yang bekerja di ibu negara terutama menjelang musim perayaan yang sering menyaksikan mereka terperangkap dalam kesesakan jalan raya teruk memakan masa perjalanan hingga berbelas jam.

Selain akan memberikan keselesaan kepada penduduk Pantai Timur, kita percaya projek ini bukan saja mampu mengubah gaya hidup rakyat di luar bandar tetapi juga mengubah pemikiran mereka untuk menjadi lebih terbuka terhadap perubahan dan pembangunan dalam jangka panjang.

Mat Dang

Kemaman, Terengganu

434 dibaca
Berita Harian X