Jumaat, 19 April 2019 | 10:24am
Umat Islam di Malaysia sangat bertuah kerana 'mewah' dengan masjid untuk kemudahan beribadat. - Foto hiasan

Jangan terlalu berkira belanja dana tabung masjid

UMAT Islam di negara ini sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana banyaknya kemudahan tempat untuk kita beribadat.

Ribuan masjid dan surau berada di mana-mana ceruk dan rantau, bandar dan desa dengan serba-serbinya lengkap dan moden. Boleh dikatakan setiap masjid ada kemudahan tempat berwuduk dan tandas yang bersih serta dilengkapi pendingin hawa bagi kelesaan jemaah.

Ada masjid yang mempunyai dewan berasingan untuk berkuliah dan bilik perpustakaan sendiri serta ada juga yang menyediakan untuk musafir bilik-bilik untuk disewakan dengan harga yang sangat berpatutan.

Begitu juga kebanyakan masjid, terutama sekali di bandar-bandar besar mempunyai kakitangan sepenuh masa pada waktu pejabat bagi urusan harian untuk umat Islam. Pengawal keselamatan juga disediakan di sesetengah masjid di negara kita.

Untuk menimba ilmu bagi umat Islam di negara ini sangat mudah kerana ustaz atau alim ulama jemputan sentiasa memberikan kuliah, boleh dikatakan setiap malam ada sahaja program bercorak agama disediakan di masjid dan surau.

Pendek kata, kemudahan untuk umat Islam beribadat amat mudah lagi selesa tanpa ada rasa takut atau bimbang kerana negara kita ini aman dan damai.

Umat Islam di Malaysia sangat bertuah kerana 'mewah' dengan masjid untuk kemudahan beribadat. Umat Islam yang pemurah juga berperanan penting kerana boleh dikatakan setiap hari ada sahaja yang begitu ikhlas menderma wang pada masjid.

Tidak keterlaluan dikatakan sudah banyak masjid di negara ini mempunyai simpanannya sendiri berjumlah sehingga jutaan ringgit.

Sebaik-baiknya, ahli jawatankuasa masjid sebagai pemegang amanah tabung masjid janganlah terlalu mengongkong penggunaan dana hingga hanya gunakan beberapa ringgit sahaja untuk tujuan kebaikan masjid.

Gunakanlah wang derma itu sebaik mungkin untuk kebajikan penduduk setempat dengan membantu orang yang dalam kesempitan hidup, kanak-kanak kurang bernasib baik serta jemaah warga emas untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan umpamanya.

Memang ada di antara masjid membuat kebajikan seperti menyediakan barang keperluan dapur atau makanan harian bagi mereka yang kurang mampu dan memberikan sedikit imbuhan kepada fakir miskin semasa Ramadan, selain sedikit perbelanjaan menjelang Aidilfitri.

Dicadangkan supaya masjid yang mempunyai dana kukuh memberikan khidmat pada Ramadan, bukan setakat bubur lambuk percuma sebagai tradisi, tetapi juga sumbangkanlah bersama lauk-pauk untuk kariah masjid berbuka puasa.

Jangan hanya dibelanjakan untuk menjamu pada majlis yang agak mewah dari segi pemakanannya jika ada tetamu VVIP sahaja, tetapi gunakan juga untuk menjamu semua orang tanpa memilih kedudukan mereka.

Berbelanjalah kembali wang kutipan tabung masjid dan jangan bimbang kemerosotan dana. Apabila kita gunakan pada jalan diredai Allah SWT serta menjalankan amanah yang betul dan ikhlas, maka rezeki itu Allah SWT akan datangkan lagi berkali ganda.

Kalau kita gunakan wang masjid dengan ikhlas dan betul, insya-Allah tidak akan ada lagi kes kecurian wang dalam tabung masjid.

Syed Abdullah Syed Osman

Ampangan, Seremban

283 dibaca
Berita Harian X