Jumaat, 19 April 2019 | 10:21am
Mohammad Ashraf Hassan.

Orang ramai patut hormati keluarga Acap

SAYA pasti seluruh rakyat Malaysia merasai kesedihan yang melanda keluarga peserta Gopeng Urban Trail 2019 (GUT 2019), Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau dikenali sebagai Acap yang hilang ketika menyertai larian berkenaan.

Siapa yang tidak tersentuh menyaksikan kesungguhan ibunya yang dalam usia emas dan menghidap sakit jantung tetap menggagahkan diri menyertai operasi mencari dan menyelamat demi menjejaki si anak yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.

Biarpun semua sedia maklum dengan kesungguhan pihak berkuasa yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran, sehingga kini jejak Acap belum ditemui.

Bak kata ibu Acap sendiri, Siti Maznah Khamis seperti disiarkan akhbar BH segala usaha sudah dilakukan daripada meredah hutan belukar, menuruni sungai, melalui bukit hingga memasuki gua.

Memang cukup tersentuh dengan rayuan wanita terbabit yang meminta seluruh rakyat Malaysia untuk sedekahkan ayat Kursi buat anaknya selepas segala daya usaha yang diikhtiarkan tidak membuahkan hasil.

Namun, dalam menghargai kesungguhan dan kesediaan pelbagai pihak untuk menjejaki Acap, rasa agak terkilan apabila ada segelintir yang dilihat cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan menerusi media sosial.

Saya pasti semua itu dilakukan untuk kepentingan diri mereka sendiri atau mungkin sebagai ‘strategi perniagaan’ kerana ada yang berbuat demikian adalah diketahui kerana memiliki perniagaan dalam talian.

Sukar untuk percaya, apabila mereka langsung tidak mengambil kira sensitiviti keluarga mangsa apabila membuat pelbagai telahan kononnya mengikut firasat dan kebolehan mereka ‘melihat dari jauh’ apa yang berlaku terhadap Acap.

Lebih membimbangkan perkara yang diperkatakan mereka itu terpesong dari ajaran Islam dan pastinya boleh mengelirukan masyarakat.

Sebagai orang Islam seharusnya kita bersikap lebih sensitif dalam perkara ini memandangkan kehilangan Acap bukan hanya membabitkan beliau seorang tetapi seluruh ahli keluarga mangsa.

Sebaliknya ada baiknya jika seluruh umat Islam di negara ini memohon doa kepada Tuhan seperti yang diminta ibu Acap supaya kehilangan ini akhirnya terjawab.

Sareena

Ipoh, Perak

1295 dibaca
Berita Harian X