Khamis, 18 April 2019 | 7:14am
Cadangan kerajaan mengadakan aktiviti bersenam selama 15 minit perlu dijadikan rutin harian. - Foto hiasan

Didik pekerja budayakan gaya hidup sihat

PENGUMUMAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa kerajaan bersetuju dengan cadangan supaya setiap kementerian mengadakan aktiviti bersenam sekurang-kurangnya 15 minit sehari perlu disambut dengan baik.

Rasanya bukan di pihak kementerian atau kakitangan kerajaan saja perlu berbuat demikian, semua pekerja di negara ini patut dididik untuk membudayakan gaya hidup sihat.

Melihatkan gaya hidup rakyat Malaysia hari ini boleh disifatkan masih amat membimbangkan walaupun kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat sudah mula wujud dalam kalangan segelintir daripada kita.

Mana tidaknya, selain sikap sebilangan daripada kita yang boleh dikatakan terlalu ‘manja’ dan ‘segan’ untuk berjalan serta berpeluh, kemudahan teknologi juga menjadikan mereka semakin susah bergerak.

Lihat saja di kebanyakan pejabat, ramai yang lebih sanggup menunggu lif daripada menaiki tangga, manakala jika mencari tempat letak kereta jika boleh mahu mendapatkan parkir betul-betul di hadapan premis yang mahu dikunjungi.

Itu belum lagi soal makan memandangkan tempat makan cukup mudah didapati di negara ini tidak kira siang atau pun malam. Ditambah dengan adanya kemudahan khidmat pesanan makanan menerusi aplikasi telefon juga membuatkan masyarakat hari ini lebih banyak menghabiskan cara hidup yang menyebabkan mereka kurang bergerak.

Tingkat produktiviti kerja

Seharusnya program X-Break yang diperkenalkan kerajaan itu sudah lama diperkenalkan dan tidak seharusnya hanya terhad untuk pekerja melakukan aktiviti senaman pagi atau petang saja.

Sudah terbukti senaman bukan saja menjadikan mereka sihat, tetapi juga boleh meningkatkan produktiviti kerja, sekali gus memberi kebaikan kepada jabatan atau syarikat.

Kajian penyelidik dari Universiti Yale dan Universiti Oxford membuktikan senaman memberikan kesihatan mental dan fizikal yang sempurna selain menikmati kegembiraan lebih berbanding memiliki wang yang banyak.

Tiada gunanya memiliki pangkat dan wang tetapi kesihatan diri terabai disebabkan komitmen dan beban kerja yang tidak pernah berkesudahan.

Warga sihat, Kuala Lumpur

121 dibaca
Berita Harian X