Khamis, 18 April 2019 | 7:09am
- Foto hiasan

Peniaga dalam talian perlu cari alternatif

KEJADIAN laman media sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp tergendala berikutan masalah teknikal hujung minggu lalu sekali lagi mencetuskan kekecohan dalam kalangan netizen.

Walaupun hanya beberapa jam, namun kejadian pada petang Ahad itu mencetuskan pelbagai pertanyaan dalam kalangan pengguna. Apa yang pasti kejadian bukan hanya berlaku di negara ini, tetapi membabitkan hampir kebanyakan negara di dunia.

Ini juga bukan kali pertama tiga media sosial pilihan netizen tidak boleh diakses kerana pada Mac lalu kejadian hampir sama turut melanda laman Facebook, WhatsApp dan Instagram.

Gangguan selama 24 jam itu disifatkan masalah paling lama setakat ini yang dihadapi pengguna media sosial.

Mungkin ada menganggap perkara ini kecil, kerana media sosial terbabit hanya menjadi penghubung untuk mengeratkan hubungan yang jauh dan yang dekat.

Sebenarnya, tanpa kita sedar ada segelintir daripada kita yang terjejas memandangkan ramai menjadikan media sosial sebagai sumber rezeki mereka, terutama peniaga dalam talian.

Fikir jalan lain

Ada di antara mereka bergantung hampir sepenuhnya terhadap tiga aplikasi media sosial ini dalam menguruskan perniagaan.

Kita sedia maklum kumpulan ini mengambil peluang daripada kemajuan telekomunikasi untuk berniaga tanpa memiliki kedai fizikal bagi mengelak kos operasi yang tinggi.

Segala-galanya daripada promosi, iklan hingga tempahan dan jualan barangan dilakukan di laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

WhatsApp pula menjadi alat untuk berhubung dengan pelanggan. Maka tidak hairanlah ramai peniaga dalam talian ini merungut, malah ada yang ‘naik hantu’ apabila medium hubungan utama mereka tidak dapat diakses.

Kejadian sebegini seharusnya menjadi pengalaman dan pengajaran kepada mereka untuk mencari alternatif dengan tidak hanya terlalu bergantung kepada media sosial dalam jualan mereka.

Bagi yang lebih kreatif, kejadian ini seharusnya memberi peluang kepada mereka untuk memikirkan jalan lain sebagai pilihan pengguna sekiranya kejadian sama berulang semula.

Lanina, Ipoh, Perak.

103 dibaca
Berita Harian X