Jumaat, 12 April 2019 | 11:07am
ECRL melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang mampu memberi impak ekonomi kepada negeri berkenaan. - Gambar hiasan

ECRL bantu lonjak pembangunan ECER

Kebelakangan ini kita sering membaca spekulasi bahawa kerajaan sudah hampir mencapai persetujuan berhubung rundingan semula pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China.

Satu perjanjian baharu dikatakan akan dimeterai antara Malaysia dan China bulan ini, sebelum lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhamad ke Beijing pada 24 April ini.

Ada laporan mendakwa kos pembinaan ECRL akan dikurangkan dan ada yang berasa jajaran laluan ECRL akan berubah. Apapun, ECRL akan tetap melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ini bukan sahaja berita baik kepada rakyat tiga negeri Pantai Timur itu, malah kepada kerajaan negeri terbabit yang sebelum ini tertunggu-tunggu pelaksanaan inisiatif ekonomi besar sejak tamat pilihan raya umum lalu.

Ketinggalan berbanding Pantai Barat

Kawasan Pantai Timur sentiasa dilihat ketinggalan berbanding negeri Pantai Barat Semenanjung dari aspek menarik pelaburan dalam dan luar negara.

Selain beberapa kawasan di Pahang dan tempat pelancongan di Terengganu yang menarik pelabur, kawasan Pantai Timur secara umumnya, kurang mendapat perhatian pelabur.

Malah penyertaan pelabur di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilancarkan kerajaan pimpinan ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, tidak memberangsangkan.

Sehingga beberapa pakar ekonomi mula mempersoalkan apakah ECER perlu dikaji semula sama ada ia wajar diteruskan atau sebaliknya.

Justeru diharapkan pelaksanaan projek ECRL akan digunakan sepenuhnya oleh ECER untuk menyegarkan semula inisiatifnya.

Majlis Pembangunan ECER sewajarnya memulakan perbincangan dengan kerajaan negeri, agensi pusat dan kementerian terbabit dengan ECRL. Fokusnya bagi menyelaraskan pembangunan di ECER dengan pelaksanaan projek ECRL.

Sama ada pelaburan ECRL menguntungkan, masih terlalu awal untuk dinilai kerana projek infrastruktur awam kebiasaannya mengambil masa lama untuk pulang modal.

Apa yang pasti, rangkaian ECRL yang menyambungkan Timur dan Barat Semenanjung akan membuka peluang luas perniagaan besar atau kecil di ketiga-tiga negeri itu.

Buka peluang ekonomi

Kehadiran lebih ramai pekerja membuka peluang kepada ekonomi bersaiz sederhana, kecil dan masyarakat kampung. Permintaan untuk makanan, rumah, kedai runcit akan bertambah, termasuk pengangkutan, riadah dan hiburan.

Diharapkan kerajaan negeri terbabit mengikuti rapat perkembangan ini, di samping membuat perancangan menerusi pelaksanaan ECRL.

Kerajaan negeri dan usahawan tempatan harus mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang, serta sedia mengambil peluang tercipta daripada ECRL kelak.

Ternyata ECRL akan membuka jalan memasarkan produk Pantai Timur secara lebih pesat di dalam negara serta pentas besar pasaran antarabangsa.

Anak Watan

626 dibaca
Berita Harian X