Isnin, 4 Februari 2019 | 2:08pm
Arked MARA Seremban kini agak lengang.

Surat Pembaca: Syarikat besar wajar bantu pacu ekonomi Melayu

Ramai dalam kalangan kita begitu semangat untuk membantu dan merancakkan ekonomi Bumiputera yang dikatakan agak terpinggir. Syabas kerana kesedaran itu ada dan kalau bukan kita siapa lagi untuk membantu.

Kita sedia maklum barang makanan atau produk yang dihasilkan orang Islam dijamin bersih lagi suci daripada bahan campuran yang ada unsur subahah. Ini terbukti apabila ada pameran barang Bumiputera, kita dapat melihat betapa berkualitinya produk berkenaan yang dibungkus dengan baik.

Malangnya, barang itu sukar diperoleh di pasaran, terutama di pasar raya. Kebanyakan pembeli terpaksa menempah terus dengan syarikat pengeluar produk.

Tidak salah kalau kita mengutamakan produk yang dihasilkan orang Melayu kerana ini juga dianggap sebagai jihad membantu ekonomi Bumiputra yang selama ini ketinggalan.

Kita tidak mahu lagi melihat kalau 30 tahun dahulu peniaga Melayu menjual nasi lemak di warung tepi jalan, tetapi setelah 30 tahun selepas itu, keluarga sama masih menjual nasi lemak di warung yang sama.

Peniaga kaum lain bertambah maju, malah ramai antara mereka berjaya hingga ke tahap membuka restoran besar atau mempunyai pasar raya sendiri.

Arked MARA lengang

Pemerhatian saya menunjukkan ada yang bersemangat dengan hanya bercakap di sana-sini, tetapi masih membeli produk bukan Bumiputera.

Kalau kita benar-benar ingin membantu perniagaan orang Melayu, pertama jangan jadikan bangunan arked MARA atau pusat perniagaan yang didirikan Jabatan Agama Islam atau bangunan UDA nampak lengang.

Di Seremban, pusat perniagaan seperti pusat beli-belah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang terletak di pusat bandar, nampak agak lengang. Begitu juga bazar Ampangan dan arked MARA Negeri.

Kalau kita mahu membantu ekonomi bangsa sendiri, komitmen berterusan hendaklah disematkan kepada setiap orang Melayu, termasuk pemimpin dan ahli korporat serta pegawai kerajaan. Berikan perhatian dan laksanakan dengan jujur dan semangat kekitaan.

Sewakan premis

Jangan pandai cakap sahaja. Beranikan diri dan kotakan apa yang dipendamkan selama ini. Yang ada kuasa, gunakan kuasa anda dan jangan sekali-kali menindas atau cuba mengenakan sewaan yang terlalu mahal hingga peniaga Bumiputera gulung tikar.

Peniaga sendiri jangan pula mengambil kesempatan menyewakan premis atau gerai mereka kepada orang asing.

Ahli korporat yang berjaya dan syarikat gergasi, termasuk Lembaga Tabung Haji mungkin boleh menceburi perniagaan baharu seperti membuka pasar raya yang bercirikan Muslim bagi membantu menjana ekonomi orang Melayu.

Syed Abdullah Syed Osman
Seremban

228 dibaca
Berita Harian X