Isnin, 4 Februari 2019 | 2:04pm
Berdasarkan kaji selidik dijalankan Perbadanan Kampung Baru terhadap pewaris tanah menunjukkan88 peratusmahukanpembangunan di kawasan mereka.- Foto Aizuddin Saad

Surat Pembaca: Warisan di Kampung Baru perlu dikekalkan

Saya menyambut baik keazaman Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad untuk membangunkan semula tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tentunya penduduk dan pewaris tanah menanti sekian lama untuk melihat tanah warisan mereka dimajukan tanpa menjejaskan hak pemilikan mereka.

Namun, saya berpendapat sebarang mekanisme yang akan dicadangkan termasuk memanjangkan tempoh pajakan kepada 99 tahun haruslah sesuatu yang membawa manfaat kepada pewaris tanpa menjejaskan hak pemilikan mereka.

Warisan Melayu

Sebagai satu-satunya kawasan warisan orang Melayu yang masih terdapat di Kuala Lumpur, tentunya kerajaan perlu memastikan segala bentuk cadangan pembangunan kelak memelihara status pemilikan tanah asal, iaitu sebagai pusaka warisan orang Melayu.

Budaya dan pembangunan bercirikan kemelayuan juga haruslah dimasukkan sebagai satu agenda pembangunan di Kampung Baru.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Perbadanan Kampong Bharu terhadap pewaris tanah menunjukkan 88 peratus mahukan pembangunan di kawasan mereka.

Justeru, satu cadangan pelan pembangunan secara komprehensif perlulah dibentangkan kepada pewaris termasuk mekanisme untuk mengatasi masalah status pemilikan tanah yang menjadi halangan terbesar kepada pembangunan.

Saya optimis kerajaan Pakatan Harapan akan mampu membawa perubahan dan pembangunan kepada wajah Kampung Baru.

Syed Badli Shah Syed Osman
Ahli Majlis Penasihat
Perbadanan Kampong Bharu

165 dibaca
Berita Harian X