Jumaat, 18 Januari 2019 | 8:25am
Pelaksanaan SAPPs dikhuatiri membebankan murid Tahun Satu berikutan jadual sekolah terlalu padat dan kurang masa rehat. - Foto hiasan

Jadual padat bebankan murid

SEBAGAI bapa, saya perhatikan rata-rata pelajar seawal usia tujuh tahun dibebani pelbagai ‘masalah’ khususnya jadual kelas yang terlalu padat dan membebankan pada sesi pagi dan petang.

Rutin pelajar di sekolah bermula seawal jam 7.20 pagi dan pulang jam 1 petang. Mereka kemudian menyambung pengajian Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) antara jam 2 petang hingga 5 petang.

Bayangkan hanya 40 minit masa rehat, apa mampu dilakukan ibu bapa atau pelajar. Ini tidak termasuk program satu murid satu sukan dan ko-kurikulum.

Beban ini ditanggung anak-anak seawal usia tujuh tahun dan berlarutan sehingga sekolah menengah.

Sebelah malam pula, pelajar terkial-kial menyiapkan kerja sekolah atau mengaji al-Quran di sekitar kediaman.

Pada usia begini, anak yang baru berdikari tidak perlu dibebankan dengan perkara yang menekan kerana ketika ini mereka baru hendak belajar tanpa ibu bapa atau penjaga di sisi ketika di sekolah.

Melihat beban pelajar, saya ingin merujuk surat bertarikh 31 Disember 2018 daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berkenaan pelaksanaan Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) yang diedarkan.

Melaluinya, dinyatakan 60 sekolah di Perlis terpilih dan ia membabitkan hanya murid Tahun Satu. Kelas SAPPs dibuat pada petang Jumaat selama tiga jam.

Persoal fungsi SAPPs

Hairannya apa fungsi program SAPPs ini. Tidak cukupkah pelaksanaan KAFA selama tiga hari pada waktu persekolahan sebelah petang. Ini tidak termasuk subjek Pendidikan Islam yang diajar di sekolah harian biasa.

Mengapa perkara ini perlu dilaksanakan hanya di Perlis dan dari mana modul diambil? Jika ada, adakah modul diambil itu menepati piawaian ahli Sunnah Wal Jamaah yang lama diamalkan di Malaysia?

Mohon kementerian pandang serius isu

Kita tidak mahu suatu hari nanti pelbagai mazhab dan amalan memecah belah penganut Islam di seluruh Malaysia.

Adakah pelaksanaan SAPPs ini hanya untuk kepentingan pihak tertentu di Perlis sehingga menyebabkan murid kepenatan dan keliru mengharungi hari sebagai seorang pelajar.

Tidakkah pelaksanaan ini mengambil alih peranan dan tanggungjawab Kerajaan Pusat menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak bangsa.

Sebagai bapa kepada murid Tahun Satu yang akan terbabit dalam SAPPs, saya memohon perkara ini dipandang serius Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Benar kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa sekolah kebangsaan di negara ini sudah berubah menjadi ke arah sekolah agama.

Bapa Prihatin,
Kangar, Perlis

2582 dibaca
Berita Harian X