Jumaat, 18 Januari 2019 | 8:02am
Keadaan jalan raya yang berlubang dan tidak diselenggara dengan baik boleh membahayakan pemandu terutama pada waktu malam berikutan jarak penglihatan terhad. - Foto hiasan

Penyelenggaraan jalan sempurna elak risiko nahas

SERING kita dengar kemalangan jalan raya berlaku disebabkan kecuaian pemandu atau kegagalan kenderaan untuk berfungsi dengan baik.

Namun, ada beberapa perkara yang boleh menjadi faktor kemalangan iaitu keadaan jalan raya itu sendiri.

Permukaan jalan raya elemen penting berhubung dengan tayar kenderaan dan jika ia tidak rata atau beralun, boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan terbabas.

Jalan berlubang sangat berbahaya terutama pada kenderaan ringan seperti motosikal yang mudah hilang kestabilan apabila terlanggar lubang sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Terdapat juga keadaan permukaan jalan raya dicemari pasir terutama pada bahu jalan. Keadaan ini menjejaskan kadar geseran antara permukaan jalan dengan tayar kenderaan, yang boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan terutama jika disusuli penggunaan brek.

Jalan raya direka merangkumi sistem saliran untuk air hujan, tetapi jika tidak diselenggara dengan baik, ia boleh tersumbat.

Cetus gelungsuran hidro

Keadaan ini mengundang air bertakung di atas jalan raya, seterusnya mencetus keadaan hydroplaning atau gelungsuran hidro kepada kenderaan.

Tayar kenderaan seakan-akan terapung antara takungan air dengan permukaan jalan raya. Ini menyebabkan pemandu hilang kawalan sehingga boleh terbabas.

Faktor pencahayaan jalan raya juga elemen penting dalam pemanduan. Sistem pencahayaan yang lemah meningkatkan risiko berlaku kemalangan kerana ia mengurangkan jarak penglihatan pemandu. Keadaan ini sangat kritikal terutama di lokasi berisiko seperti simpang dan cerun bukit.

Sistem pencahayaan yang baik dapat membantu meningkatkan tahap jarak penglihatan pemandu terutama pada waktu malam dan waktu kritikal lain seperti pada masa hujan lebat atau berkabus.

Kesimpulannya, keadaan jalan raya boleh menjadi faktor utama berlaku kemalangan. Jalan raya harus direka dan diselenggara dengan baik demi menjamin keselamatan kenderaan yang menggunakannya, seterusnya mengurangkan kadar kemalangan.

Mohamed Khatif Tawaf,
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA Johor, Kampus Pasir Gudang

188 dibaca
Berita Harian X