Isnin, 14 Januari 2019 | 8:42am
- Gambar hiasan

Surat Pembaca: Buang puntung rokok merata-rata juga satu kesalahan

Penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan bermatlamat membawa kebaikan kepada seluruh rakyat, sama ada golongan perokok atau pelanggan di premis di senarai itu.

Artikel dikeluarkan Cancer Research daripada United Kingdom mengesahkan asap rokok adalah penyebab sekurang-kurangnya 15 jenis penyakit kanser, manakala Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan rokok mengandungi lebih 4,000 bahan kimia, dengan 250 daripadanya dikategorikan sangat berbahaya dan 50 lagi adalah penyebab kanser.

Kesan mudarat ini bukan sahaja dirasai perokok, tetapi memberi kesan sama kepada individu yang tidak merokok.

Seperti dinyatakan Kementerian Kesihatan (KK), kegagalan mematuhi kawasan larangan merokok akan menyebabkan individu bersalah dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Denda bukan sahaja membabitkan perokok, malah pemilik restoran atau kawasan terbabit juga boleh dikenakan denda sekiranya tidak mematuhi peraturan ini.

Sebagai pelanggan di premis kedai makan dan restoran, suatu kelegaan melihat individu yang merokok sudah mula mengambil jarak lebih tiga meter untuk memenuhi tuntutan tabiat itu.

Di sebalik kepatuhan itu, timbul ketidakselesaan lain apabila puntung rokok mula dibuang merata-rata, berikutan bekas khusus untuk membuang abu dan puntung rokok tidak lagi disediakan di kedai makan atau restoran.

Sikap kurang beretika dengan membuang puntung rokok merata-rata ini tindakan tidak baik. Ia bukan sahaja berlaku di luar kawasan restoran (dari jarak tiga meter), malah di lain kawasan seperti tempat pejalan kaki, ruang awam, ketika memandu dan banyak lagi.

Masyarakat mungkin lupa individu yang gagal mematuhi larangan pembuangan sampah merata-rata juga sebenarnya boleh dikompaun jika melanggar undang-undang kebersihan.

Cari jalan penyelesaian

Justeru, pihak tertentu boleh memikirkan jalan terbaik agar masalah yang turut dicetus golongan perokok ini dapat dikekang dan sikap membuang puntung rokok merata-rata ini tidak berterusan berlaku.

Mungkin penyediaan bekas khusus untuk membuang puntung rokok dapat disediakan di kedudukan berjarak lebih tiga meter atau berdekatan, boleh dipertimbangkan.

Apa yang dirisaukan tindakan sesetengah perokok yang tidak mengambil kisah apabila membuang puntung rokok yang masih mempunyai bara sesuka hati, berisiko mendatangkan kesan tidak baik.

Pelbagai kes berlaku di negara ini kerana puntung rokok. Siapa sangka bara api puntung rokok boleh menyebabkan kebakaran terutama di kawasan rumput kering.

Kebakaran mudah berlaku ketika cuaca panas dan kering, jadi disarankan kepada perokok agar sama-sama mengambil tindakan betul dengan membuang puntung rokok di tempat sepatutnya.

Zeno Michael,
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Kampus Pasir Gudang.

381 dibaca
Berita Harian X