Khamis, 20 Disember 2018 | 10:00am
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison (tengah) bercakap kepada pegawai tentera Australia ketika melawat di Kompleks Tentera Taji di Al Taji, Iraq. - Foto EPA

Tindakan Morrison langgar resolusi PBB

Boycott, Divest, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) ingin menyuarakan perasaan terkejut dan kecewa terhadap tindakan Kerajaan Australia di bawah Perdana Menteri, Scott Morrison mengiktiraf Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel.

Keputusan ini menjadikan Australia ‘pak turut’ kepada kehendak puak Zionis Israel. Keputusan ini sebenarnya bertentangan dengan pendirian Kerajaan Australia selama ini, yang mengatakan bahawa penyelesaian masalah di Palestin hanya boleh dicapai melalui wujudnya dua negara, iaitu Palestin dan Israel.

Walaupun penyelesaian dua negara sebenarnya mustahil kerana Zionis Israel terbukti mahu merampas semua tanah milik Palestin, tindakan Morrison ini mendedahkan sikap kepura-puraan pentadbirannya mengenai isu ini secara keseluruhan.

Hakikat sebenarnya ialah jika puak Zionis Israel terus mendapat sokongan, walaupun sedang giat melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin, mereka tidak akan berusaha untuk mencari keamanan sejati dan bertindak adil dengan rakyat Palestin, sama ada dalam kerangka dua negara atau satu negara.

Meskipun Kerajaan Malaysia dan banyak negara lain membuat perisytiharan bahawa keputusan mengenai Baitulmaqdis harus menghormati resolusi Pertubuhan Bangsa-Bnagsa Bersatu (PBB), demi mencapai keamanan yang adil dan saksama antara Israel dan Palestin, namun pentadbiran Morrison memilih untuk tidak menghormati Malaysia dan negara lain, dengan mengabaikan semua pengisytiharan berkenaan.

Oleh yang demikian, BDS Malaysia menyeru Kerajaan Malaysia untuk bertindak lebih tegas terhadap Kerajaan Australia dan bukan setakat mengeluarkan kutukan terhadapnya.

Antara langkah yang perlu dilakukan:

[gn4id:6768302]Kementerian Luar Malaysia perlu memanggil Pesuruhjaya Tinggi Australia dan meminta beliau menyampaikan pendirian Malaysia yang amat tidak bersetuju dengan keputusan pentadbiran Morrison.

[gn4id:6768302]Kuala Lumpur perlu menurunkan status hubungan diplomatik semasa dengan Canberra.

[gn4id:6768302]Kuala Lumpur harus menyemak semua hubungan perdagangan dan pertukaran dengan Australia.

[gn4id:6768302]BDS Malaysia juga menyeru semua rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam demonstrasi aman yang dirancang pada petang Jumaat ini, di hadapan Suruhanjaya Tinggi Australia untuk menyatakan secara terang-terangan kegusaran dan bangkangan kita terhadap keputusan pentadbiran Morrison mengenai status Baitulmaqdis.

[gn4id:6768302]Rakyat Malaysia juga perlu mengelak daripada membeli produk daging, tenusu, pertanian dan produk lain yang berasal dari Australia, sehingga Kerajaan Australia mengubahkan pendiriannya berkenaan Baitulmaqdis.

Perlu dinyatakan bahawa semua keputusan di atas dibuat atas dasar sikap perpaduan kita dengan semua rakyat Palestin, yang berhak hidup dengan damai dan bermaruah di negara mereka sendiri.

Hak mereka dinafikan semenjak 70 tahun yang lalu. Keadaan yang zalim terhadap rakyat Palestin selama ini sebenarnya krisis moral paling buruk pada zaman moden.

Perlu juga dinyatakan bahawa semua langkah di atas tidak bermakna kita bermusuh dengan rakyat Australia.

Ini hanya mencerminkan pendirian kita tidak bersetuju dengan tindakan pentadbiran Morrison, yang memilih untuk menggadaikan maruah dan mengorbankan kepentingan negara Australia semata-mata bagi menyokong hasrat Donald Trump.

Australia memilih untuk mencontohi sikap jelik Israel yang tidak menghormati resolusi antarabangsa serta perasaan negara jiran.

Sikap hipokrit Morrison

Sikap pentadbiran Morrison yang menerima bulat-bulat serta menyokong projek penjajahan, serta perkauman yang zalim terhadap rakyat Palestin yang sebenarnya kaum asal di bumi Palestin, juga mendedahkan sifat hipokritnya.

Dalam erti kata yang lain, semua kenyataan kesedihan dan penyesalan yang diungkapkan oleh Kerajaan Australia selama ini mengenai jenayah penipuan dan keganasan mereka yang lalu terhadap penduduk asal Australia sendiri, jelas kosong dan sebenarnya tidak bermakna langsung.

Sudah tiba masanya pentadbiran Morrison disedarkan dengan beberapa kebenaran ini walaupun mungkin sangat pahit bagi mereka.

Prof Dr Mohd Nazari Ismail,

Pengerusi BDS Malaysia

366 dibaca
Berita Harian X