Khamis, 20 Disember 2018 | 10:00am

Jangan salah guna mahasiswa untuk dapatkan pengaruh

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan Menterinya, Dr Maszlee Malik untuk meminda dan memansuhkan Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diluluskan sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Seksyen yang dimansuhkan memperuntukkan larangan pembabitan mahasiswa, dalam aktiviti parti politik dalam kampus di universiti dan kolej universiti awam.

Walaupun cadangan itu kelihatan bermanfaat demi kepentingan mahasiswa, PKPIM menegaskan bahawa ia tidak seharusnya disalahgunakan parti pemerintah
mahupun pembangkang, terutama pemimpinnya untuk mempergunakan mahasiswa demi melebarkan pengaruh politik di universiti.

Untungkan parti

Dalam perkembangan berkaitan, walaupun PKPIM melihat pindaan ini tidak menyeluruh dan hanya menguntungkan parti politik bagi membuka cawangan di kampus, perkara ini harus dimanfaatkan seluruh mahasiswa.

Ini bertujuan menerapkan semangat demokrasi dalam diri masing-masing melalui pendidikan kewarganegaraan dan perbincangan ilmiah, mengenai isu semasa tempatan juga antarabangsa.

Justeru, PKPIM memohon pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak lagi menjadikan mahasiswa sebagai boneka politik mereka, terutama ketika pilihan raya kampus selain mempergunakan pelajar terbabit untuk melaksanakan agenda sempit politik kepartian yang tidak mendatangkan manfaat.

Sehubungan itu, PKPIM akan terus memastikan janji kerajaan memansuhkan AUKU dalam tempoh lima tahun, seperti jaminan Kementerian Pendidikan dan manifesto Pakatan Harapan agar tidak dimungkiri.

Muhamad Nur Iman Abdul Khudus,
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

121 dibaca
Berita Harian X