Khamis, 1 November 2018 | 10:08am
PERPUSTAKAAN lengkap bahan bacaan dan rujukan amat penting bagi menyokong kecemerlangan pembelajaran generasi muda. - Foto hiasan

Perpustakaan pelaburan perkasa minda generasi muda

MERUJUK artikel Bajet 2019 ‘Diharap sokong industri buku’ yang diterbitkan BH sebelum ini, saya bersetuju terhadap permohonan supaya kerajaan memberi dana secukupnya sebagai pembiayaan membeli buku kepada Perpustakaan Negara dan perpustakaan lain.

Bagi perpustakaan akademik, keperluan dana yang mencukupi bagi membeli bahan bacaan dan rujukan yang menyokong pembelajaran amat penting.

Paling kritikal apabila kecukupan bahan ini turut dinilai oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). MQA bukan sekadar menilai bahan mencukupi atau tidak, bahkan melihat sama ada bahan disediakan diterbitkan pada tahun terkini atau bukan. Perkara ini selari dengan hasrat untuk melihat mahasiswa dan penyelidik di universiti merujuk kepada bahan rujukan yang bersesuaian dan tidak ketinggalan zaman.

Perubahan masyarakat

Justeru, bajet yang mencukupi untuk membeli bahan rujukan edisi tahun yang terkini diperlukan secukupnya. Pihak pentadbiran tidak boleh membeli bahan kalau dananya tidak disalurkan.

Persidangan Perpustakaan dan Maklumat Dunia anjuran Persidangan Persekutuan Perpustakaan dan Institusi Antarabangsa, baru-baru ini, membawa tema Transform Libraries Transform Society.

Ini bermaksud perpustakaan di seluruh dunia diminta untuk membuat perubahan terhadap institusi masing-masing dalam rangka membuat perubahan dalam masyarakat.

Oleh itu, perpustakaan memerlukan dana secukupnya untuk membuat perubahan fizikal kepada bangunan dan ruang perpustakaan serta perubahan dari sudut pemikiran, ilmu pengetahuan dan kemahiran yang juga memerlukan dana untuk pembangunan ilmu, latihan dan kursus.

Bagi tujuan pembangunan koleksi perpustakaan, saya tidak bersetuju apabila ada sesetengah pihak berhujah agar diperkasakan kesediaan untuk staf mewakafkan wang ringgit, masa, dan tenaga semata-mata serta mengusahakan wakaf wang ringgit daripada orang ramai apabila dimohon dana tambahan untuk perpustakaan.

Longgokan buku lama

Usaha membangunkan koleksi melalui sumbangan wakaf menyebabkan perpustakaan dilonggokkan dengan buku lama saja.

Perpustakaan perlu dilengkapkan dengan buku terbitan baharu dan bahan bacaan elektronik, atas talian serta bahan audio, sesuai keperluan generasi masa kini dan kemudahan teknologi yang ada.

Penyediaan dana yang mencukupi kepada perpustakaan harus dilihat sebagai pelaburan yang wajib dikeluarkan untuk pembangunan minda generasi ke arah kemajuan negara.

Nor Azzah Momin,

Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

23 dibaca
Berita Harian X