Khamis, 1 November 2018 | 10:07am
IBU bapa yang prihatin dan mengikuti perkembangan teknologi memastikan anak selamat ketika menggunakan internet. - Foto hiasan

Tingkat kesedaran unsur negatif keterbukaan internet

TIDAK dinafikan, internet menyediakan banyak kelebihan dan manfaat daripada capaian maklumat serba pantas hingga memudahkan aspek kehidupan. Selain menyokong proses pendidikan, ia turut meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan, selain menyumbang kepada kemajuan ekonomi, perdagangan dan sosiobudaya.

Namun, keterbukaan internet mendedahkan kepada pelbagai unsur negatif jika tidak dikawal dan dipantau. Sehubungan itu, sempena Hari Kesedaran Internet Sedunia, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyeru semua ibu bapa untuk meningkatkan kesedaran berkenaan dalam keluarga masing-masing.

Kesan negatif pornografi

Antara kesan negatif penggunaan internet ialah mudahnya bahan dan kandungan berunsur lucah boleh dicapai atau diperoleh kerana dipermudahkan menerusi peranti atau gajet mudah alih.

Hasil kajian terhadap penghuni rumah perlindungan kendalian WADAH, kira-kira 95 peratus remaja yang hamil luar nikah pernah menonton video lucah.

Menonton atau melihat bahan lucah boleh merangsang nafsu, selain menimbulkan perasaan ingin mencuba dalam kalangan kanak-kanak ini yang sangat mudah terpengaruh.

Kajian juga menunjukkan 75 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 17 tahun pernah terdedah dengan bahan lucah, sama ada secara sengaja atau tidak.

Menonton atau melihat pornografi boleh menyebabkan ketagihan kerana ia boleh mengubah bahan kimia dalam otak seperti dopamin, serotonin, oksitosin dan norepinefrin. Kesannya lebih merosakkan terutama terhadap otak kanak-kanak yang sedang berkembang.

Ambil peduli perkembangan teknologi, media baharu

Kempen ‘Sekeluarga Tolak Pornografi’ (SToP) ke seluruh negara, antara lain menekankan pentingnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk mengawal dan memantau penggunaan internet anak mereka.

Ibu bapa era digital tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil peduli perkembangan teknologi dan media baharu.

Demi keselamatan dan kesejahteraan keluarga, kita tidak boleh lagi berselindung di sebalik pengabaian dan keengganan mengikuti perkembangan digital ini.

Prof Madya Dr Nur Izura Udzir,

Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

23 dibaca
Berita Harian X