Selasa, 23 Oktober 2018 | 10:00am
Sebahagian daripada warga tua. - Foto hiasan/Poliana Ronnie Sidom

Sedia program bantu warga tua jalani hidup berkualiti

Memandangkan Malaysia kini sedang dalam proses menjadi negara tua apabila tujuh peratus daripada penduduknya berusia 65 tahun ke atas menjelang 2030, sudah tentu kita harus berfikir bagaimana untuk berhadapan dengan pelbagai masalah dan cabaran berkaitan.

Menurut Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, bilangan rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas juga dijangka mencapai 3.5 juta pada 2020 dan 6.3 juta pada 2040 - merangkumi kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk.

Secara umumnya, masalah yang sering dihadapi warga emas di seluruh dunia, termasuk kesihatan yang merosot, kekurangan zat makanan dan tempat berlindung, ketakutan, kemurungan, kesukaran hidup, pengasingan, kebosanan, tidak produktif dan ketidakupayaan dari segi kewangan.

Masalah ini boleh dimasukkan dalam dua kategori, iaitu kesihatan dan keupayaan fizikal dan mental.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dilaporkan menggesa generasi berusia ini supaya tetap aktif dan terus bekerja, walaupun selepas bersara.

Dr Mahathir yang kini berumur 93 tahun berkata, jika mereka tidak lagi aktif, mereka akan menjadi lemah dan akhirnya kehilangan minat untuk melakukan aktiviti dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi: Menambah Nilai Kehidupan dan Hubungan Komuniti sempena Hari Orang Tua Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Tepat pada masanya untuk kerajaan mengkaji semula dasar berkaitan dan bersedia untuk perubahan yang tidak dapat dielakkan ini, termasuk menyediakan sistem sokongan sosial yang lebih baik untuk populasi yang semakin tua.

Program keselamatan sosial

Antara lain, negara harus mempunyai program keselamatan sosial yang lebih komprehensif kerana kajian menunjukkan pendapatan persaraan bagi kebanyakan orang tua tidak mencukupi.

Jangka hayat rakyat Malaysia kini berada pada purata 75 tahun dan mereka perlu berjimat cermat untuk bertahan antara 15 hingga 20 tahun selepas bersara.

Kajian dijalankan oleh Institut Persaraan Yang Diinsuranskan (IRI) awal tahun ini turut mendedahkan bahawa kurang daripada 25 peratus pekerja yang ditemu bual percaya mereka bakal mempunyai wang mencukupi untuk melalui tahun persaraan mereka.

Memandangkan kos sara hidup dijangka meningkat dalam tahun akan datang, penting untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial, termasuk membolehkan warga emas yang sihat dan berpengalaman bekerja.

Kerajaan boleh mencontohi pendekatan yang diambil oleh negara lain yang memperkenalkan pelbagai insentif kewangan bagi majikan yang menggaji atau mengekalkan pekerja berusia dan memberi latihan kepada mereka.

Fokus harus diberikan kepada wanita berusia kerana mereka lebih cenderung menjadi balu atau janda dan tidak mempunyai pendapatan persaraan yang mencukupi. Keadaan itu akan meningkatkan kebergantungan mereka terhadap orang lain dan mudah menjadi mangsa penganiayaan.

Kerajaan juga perlu membangunkan sistem penjagaan kesihatan mesra orang tua yang memberi tumpuan kepada pencegahan penyakit kerana kos penjagaan hospital agak mahal.

Kita perlu menerima hakikat bahawa peningkatan populasi warga tua akan membebankan sistem penjagaan kesihatan.

Selain membina dan menambah baik hospital dan klinik sedia ada, lebih ramai pakar geriatrik perlu dilatih kerana pada masa ini hanya ada seorang pakar geriatrik untuk setiap 100,000 orang tua.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan perlu mengintegrasikan penjagaan primer dan geriatrik serta meningkatkan penyelarasan perkhidmatan mereka.

Jumlah ahli profesional dan penjaga terlatih juga perlu ditingkatkan kerana warga tua yang menghidapi penyakit kronik biasanya memerlukan penjagaan untuk jangka panjang.

Kita juga harus belajar daripada negara maju, terutama Jepun, mengenai cara berhadapan dengan isu berkaitan populasi tua dan cabaran baharu.

Penduduk Jepun yang semakin tua kini sudah mencapai rekod baharu dunia apabila seorang daripada tiga rakyatnya kini berumur 65 tahun ke atas.

Walaupun Jepun antara negara yang mempunyai penjagaan kesihatan dan jaringan keselamatan sosial terbaik untuk warga emasnya, populasi yang semakin tua memberikan bebanan terhadap sistem kewangan dan industri runcitnya.

Satu lagi aliran yang tidak dijangka turut berlaku di Jepun apabila lebih ramai orang tua melakukan jenayah kecil supaya mereka boleh menghabiskan sisa usia mereka di dalam penjara.

Cabaran baharu

Menurut laporan Bloomberg, aduan dan penangkapan warga tua melebihi kumpulan umur lain di Jepun dan kadar jenayah warga tua juga meningkat empat kali ganda sejak beberapa dekad lalu. Ini antara cabaran baharu yang mungkin perlu kita hadapi.

Saya percaya matlamat utama kita untuk memastikan warga tua dapat menjalani hidup berkualiti dan menangani secara proaktif isu berkaitan seperti pekerjaan, persaraan, perumahan, keluarga, komuniti dan aktiviti rekreasi mereka.

Kita juga perlu membantu warga tua untuk kekal dalam masyarakat dengan menyediakan pusat penjagaan dan hospital harian, kelab sosial, pusat pemulihan dan kaunseling serta khidmat nasihat, skim sukarelawan dan kejururawatan ke rumah.

Usaha menangani masalah dan cabaran dihadapi penduduk yang semakin tua ini memerlukan sokongan penuh daripada semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat.

Kita semua perlu ingat bahawa usaha untuk membantu warga tua akan turut memberi manfaat kepada kita kerana suatu hari nanti kita juga akan menjadi tua.

Tan Sri Lee Lam Thye,
Aktivis sosial

12 dibaca
Berita Harian X