Isnin, 18 Jun 2018 | 7:47am
PERSEDIAAN mental dan penyelenggaraan kenderaan serta infrastruktur perlu diberi keutamaan terutama pada musim perayaan. - Foto hiasan

Prihatin aspek logistik tangani nahas musim perayaan

SABAN tahun kita dihidangkan dengan ratusan angka kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang musim perayaan. Adakah kita mengambil iktibar atau sekadar berasa simpati buat seketika sahaja?

Hakikatnya, tahap keprihatinan dalam kalangan masyarakat masih rendah dan perkara ini menyebabkan tercetus malapetaka di atas jalan raya. Semua pihak harus memainkan peranan dalam usaha mengatasi masalah ini.

Bagi pihak berwajib, semua kawasan yang sering berlaku kemalangan maut harus diteliti punca nahas. Adakah fizikal jalan yang mungkin berlubang, tidak rata atau rimbunan pokok yang menghalang papan tanda lalu lintas.

Kadangkala jalan raya terlalu gelap pada waktu malam dan memerlukan cahaya sokongan bagi meningkatkan tahap penglihatan pemandu.

Ironinya, kerja penambahbaikan jalan raya di negara ini sering dibuat secara besar-besaran tatkala menjelang pilihan raya. Mungkin pendekatan dan kaedah konvensional ini boleh diubah dan membuat penambahbaikan jalan raya menjelang musim perayaan.

Dalam pada itu, pihak kementerian berkenaan juga boleh memainkan peranan dengan menambah papan tanda peringatan serta etika pemanduan agar pemandu memperoleh kesedaran dan memperbaiki etika pemanduan.

Penetapan peraturan kenderaan berat tidak dibenarkan untuk melalui lebuh raya utama kecuali bas pada hari pertama dan kedua cuti perayaan wajar diteruskan bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.

Sementara itu, penambahbaikan secara total dan efisien juga tidak akan memberi sebarang manfaat seandainya sikap pemandu sendiri yang miskin etika. Umpamanya menggunakan lorong kecemasan sesuka hati, memotong barisan berkembar dan lebih parah, berlumba sesama mereka.

Persediaan keselamatan

Minda sebegini harus dicuci demi menyelamatkan nyawa pemandu lain yang tidak bersalah. Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga boleh memainkan peranan dengan memaparkan iklan di kaca televisyen berhubung persediaan keselamatan sebelum pulang ke kampung.

Contohnya seperti pemeriksaan bunga pada tayar kenderaan, sistem brek, minyak pelincir serta angin tayar simpanan. Semua elemen ini setidak-tidaknya dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu khususnya buat perantau yang mahu pulang jauh ke kampung halaman.

Pada sisi lain, didapati ada segelintir kenderaan yang menggunakan lampu HID yang tinggi kuasanya lantas menyilaukan pandangan pemandu lain yang berada di hadapan atau berselisih dengan kenderaan mereka.

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana boleh menyebabkan nahas jalan raya kerana secara saintifiknya, mata manusia yang terkena biasan silauan tinggi boleh kehilangan titik fokus dalam masa beberapa saat sebelum dapat melihat kembali secara normal.

Situasi ini sangat tidak selamat bagi pemandu, penumpang mahupun pengguna jalan raya lain, lebih-lebih lagi jika pemandu bas membawa hampir 40 nyawa di dalam kenderaannya. Perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa, terutama pada musim perayaan.

Akhir sekali, faktor alam sudah pasti tidak dapat dikesampingkan seperti hujan lebat, banjir dan tanah runtuh adalah beberapa perkara yang setiap pemandu harus waspada.

Pastikan setiap kenderaan mempunyai peti keselamatan bagi tujuan rawatan awal jika berlaku sebarang kemalangan.

Moga statistik kemalangan pada musim perayaan ini dapat dikurangkan dengan kerjasama semua pihak, sama ada pihak berwajib mahupun pemandu sendiri berlandaskan prinsip pematuhan etika pemanduan jalan raya di negara ini.

Dr Mohd Saipuddin Suliman dan Mimi Suriani Mat Daud,
Johor Bahru, Johor

12 dibaca
Berita Harian X