Isnin, 18 Jun 2018 | 7:44am
SIKAP waspada dan bertolak ansur mampu mengurangkan risiko nahas maut. - Foto hiasan

Bertolak ansur, pandu berhemah mampu kurangkan kemalangan

BIASANYA sepanjang tempoh perayaan, kita banyak mendengar mengenai nahas jalan raya. Adakah menjelang musim perayaan, pemandu di Malaysia tidak lagi mengamalkan pemanduan berhemah?

Selain pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya, isu yang dianggap kecil oleh pemandu, tetapi memberi kesan besar kepada pengguna lain ialah menghidupkan lampu isyarat sebelum memotong atau ketika masuk simpang.

Ramai di antara kita yang memandu mengabaikan amalan ini. Kita sering mengambil mudah dan tanpa disedari memberi kesan kepada pemandu lain.

Sebagai seorang pemandu yang mendapat lesen memandu dengan peraturan yang digariskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kita seharusnya tidak boleh menidakkan amalan 'kecil' ini. Apa yang digusarkan ia boleh meragut nyawa.

Usah pentingkan diri sendiri

Tabiat memotong di lorong kecemasan juga satu lagi amalan pemanduan yang perlu dielakkan. Perbuatan ini sebenarnya merujuk kepada keadaan mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan keselamatan orang lain.

Saya yakin, umum masih mengingati kejadian 2017 membabitkan kemalangan jiwa kerana ambulans tidak dapat sampai tepat pada masa di tempat kemalangan akibat kesesakan di laluan kecemasan.

Selepas kejadian terbabit, perbuatan memotong di lorong kecemasan agak reda namun tidak sepenuhnya. Masih ada lagi pemandu yang mementingkan diri melakukan perbuatan itu tanpa rasa bersalah.

Dalam hal ini, kuasa media sosial adalah sangat baik untuk memberi kesedaran sejagat.

Sebenarnya, bertolak ansur ketika memandu sekiranya menjadi amalan semua masyarakat, kemalangan pasti dapat diminimumkan.

Semoga perjalanan pergi dan balik dari kampung halaman dalam keadaan baik dan selamat. Pastinya semua gembira dapat bertemu ahli keluarga tersayang meraikan lebaran.

Nor Adlyizan Theis,
Universiti Sains Islam Malaysia

39 dibaca
Berita Harian X