Khamis, 24 Mei 2018 | 2:20pm
KEBANYAKAN bufet Ramadan menggunakan nama bercirikan Melayu dan Islam untuk menarik pelanggan. - Foto hiasan

Pantau bufet Ramadan guna sijil halal tak diiktiraf

SETIAP kali Ramadan, timbul perdebatan mengenai sajian makanan di premis makanan, restoran mahupun hotel yang menawarkan hidangan bufet sempena bulan puasa.

Isu ini timbul apabila operator premis makanan menawarkan promosi tanpa memperoleh persijilan halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri.

Pada 2013, JAKIM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pernah menggariskan peraturan premis atau restoran yang tidak berbuat demikian tidak dibenar menawarkan pakej bufet Ramadan serta menggunakan perkataan halal dalam promosi mereka.

Namun, hotel masih lagi tidak mengendahkan arahan apabila terus menawarkan pakej dan tawaran berbuka puasa tanpa memiliki perakuan sijil halal.

Sekitar 2010, akhbar pernah melaporkan 70 peratus daripada hotel di Lembah Klang menghidangkan bufet berbuka puasa tanpa sijil halal, malah dalam keadaan tertentu turut menggunakan alkohol dalam penyediaan makanan.

Kekeliruan timbul dalam masyarakat kerana kebanyakan bufet berbuka puasa menggunakan nama bercirikan Melayu dan Islam yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan nama berkenaan untuk meyakinkan pelanggan mengenai status halal di premis terbabit.

Penyediaan makanan, bahan meragukan

Hakikatnya, aspek penyediaan makanan dan penggunaan bahan yang meragukan menyebabkan premis terbabit tidak mendapat pengesahan halal.

Namun, ada yang berani menggunakan logo halal JAKIM tanpa kebenaran semata-mata mahu mengaburi mata pelanggan sedangkan premis mereka tidak memiliki sijil halal diiktiraf.

Masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tidak peduli mengenai ciri konsep halal dalam Islam untuk membolehkan sesebuah premis diberikan sijil halal, terutama apabila membabitkan keraguan dalam aspek penyediaannya.

Undang-undang bagi menangani masalah ini sudah mencukupi, namun masyarakat perlu memainkan peranan sewajarnya untuk bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

Semak portal halal

Kemudahan mengakses maklumat Portal Halal Malaysia di laman sesawang www.halal.gov.my yang dilancarkan sebelum ini juga membolehkan pengguna membuat aduan mereka.

Selain menyediakan senarai hotel yang mendapat pengesahan halal, portal yang sama juga membolehkan orang ramai mendapat maklumat mengenai fatwa halal, glosari, aditif makanan dan pelbagai lagi.

Semakan Halal Malaysia juga boleh dibuat menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) yang disediakan JAKIM merangkumi semakan status produk halal, premis dan rumah sembelihan yang diperakui halal.

Secara rumusannya, tindakan mengadakan majlis berbuka puasa di premis yang tidak mempunyai persijilan halal seolah-olah menggalakkan mereka terus mempersendakan agama serta tidak menghormati kesucian amalan Islam, terutama pada Ramadan yang suci.

Sehubungan itu, JAKIM dan KPDNKK perlu segera bertindak menerusi pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih tegas selain masyarakat sendiri perlu memainkan peranan memboikot premis yang tidak mematuhi piawaian halal kerana memilih makanan halal adalah kewajipan bagi umat Islam.

Muhammad Hafiz Badarulzaman,
Pengarah Unit Debat, Advokasi dan Oratori Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X