Khamis, 7 November 2019 | 10:46am
Bantahan yang diadakan di luar Kedutaan China di London bertujuan antara lain mendesak pembebasan Gui Minhai. - Foto ihsan Wikimedia Commons

Penerbit seludup puisi keluar penjara China

STOCKHOLM: Penjual buku penentang yang keluar masuk penjara di China sejak 2015, akan menerbitkan kumpulan puisi yang diseludup dari tahanannya.

Gui Minhai warga Sweden kelahiran China yang menetap di Hong Kong itu, menerbitkan buku yang mengkritik pemimpin negara Tembok Besar berkenaan.

Beliau diculik di Thailand pada 2015, sebelum muncul dalam tahanan di tanah besar China.

Bukunya berjudul I Draw a Door on the Wall with My Finger, akan diterbitkan pada Mei tahun depan sempena ulang tahun kelahiran Minhai ke-56.

Penerbit Kaunitz & Olsson, Martin Kaunitz, berkata pihaknya dihubungi anak Minhai, Angela yang bertanyakan sama ada mereka mahu menerbitkan puisi dan mengalu-alukan pelawaan itu.

“Minhai terpaksa menyeludup manuskrip itu kepada Angela dan beliau menulis puisi berkenaan sejak hari pertama dalam penjara,” katanya.

Kaunitz berkata, buku itu dapat mendedahkan pihak berkuasa China dan mengingatkan Minhai dalam ingatan masyarakat.

“Sudah jelas perhatian dunia luar adalah untuk melindungi golongan ini,” katanya.

Minhai menjadi warga Sweden selepas belajar di negara itu pada 1980-an. Selepas diculik, beliau dibebaskan pada Oktober 2017.

Bagaimanapun, lokasi Minhai tidak diketahui dengan jelas hingga Januari 2018 apabila beliau ditahan ejen China dalam keretapi Beijing ketika bersama-sama diplomat Sweden.

Penahanan itu menjadi punca ketegangan antara Stockholm dengan Beijing dan Sweden menggantikan dutanya ke China awal tahun ini selepas beliau ‘secara salah’ mengendalikan mesyuarat tanpa kebenaran bertujuan membantu dalam membebaskan Minhai. - Reuters

Berita Harian X