Khamis, 31 Oktober 2019 | 7:02pm
Pemenang Pertama, Shaidatul Nadira Shaharum bersama pemenang kedua, Siti Aisyah Muhamad (kanan) dan ketiga, Ariff Adly Mohamad selepas Pertandingan Akhir Sayembara Dendangan Syair 6 Zon Peringkat Kebangsaan 2019 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Shaidatul Nadira juara Sayembara Dendangan Syair

KUALA LUMPUR: Shaidatul Nadira Shaharum mewakili zon Selatan menjuarai Sayembara Dendangan Syair 6 Zon Peringkat Kebangsaan di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini.

Melagukan dua syair, guru Sekolah Kebangsaan Jasin itu membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 berserta hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dimenangi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis, Siti Aisyah Muhamad mewakili zon Utara, manakala Ariff Adly Mohamad (zon Sarawak) di tempat ketiga, masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000.


Pemenang Pertama, Shaidatul Nadira Shaharum mendendangkan syair sempena Pertandingan Akhir Sayembara Dendangan Syair 6 Zon Peringkat Kebangsaan 2019 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Acara penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang turut merasmikan sayembara akhir peringkat kebangsaan itu.

Terdahulu, Muhammad Bakhtiar dalam ucapannya berkata, penganjuran sayembara itu dapat memartabatkan puisi sebagai warisan kebangsaan, sekali gus memperkasakan penggunaan bahasa Melayu.


Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menyampaikan piala pusingan kepada Shaidatul Nadira Shaharum yang menjuarai Pertandingan Akhir Sayembara Dendangan Syair 6 Zon Peringkat Kebangsaan 2019 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Muhammad Bakhtiar berkata, selain memastikan syair tidak pupus ditelan zaman, penganjuran sayembara sebahagian usaha mendedah dan mendidik masyarakat mengenai keindahan syair.

“Usaha mendidik masyarakat penting kerana sastera tradisional seperti syair menjadi alat membentuk peribadi dan pemikiran bangsa kerana diisi elemen nasihat dan panduan.

“Sayembara ini menjadi pelantar kepada penggunaan bahasa Melayu yang indah dan betul sesuai peranannya sebagai identiti negara yang perlu didaulat serta diperkasakan,” katanya.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop dan Timbalan Ketua Pengarah JWN, Mohamad Muda Bahadin.

Muhammad Bakhtiar berkata, program seni budaya dan warisan seumpama itu perlu diketengahkan kepada semua lapisan masyarakat terutama generasi muda serta pelancong luar.

Berita Harian X