Isnin, 12 Ogos 2019 | 12:00pm
Amani menunjukkan sebahagian karya keganasan dan penderitaan rakyat Syria akibat peperangan ketika ditemui di studionya di Idlib, Syria. - Foto AFP

Kartun 'hujan darah' kritik perang, keganasan di Syria

IDLIB, Syria: Berbekalkan komputer tablet di negara yang hancur akibat peperangan, kartunis, Amani al-Ali, bersenjatakan pen melukis lakaran kehidupan dalam kubu penentang.

Amani berkata, beliau cuba mengungkapkan apa yang sukar diucapkan orang lain.

Idlib, wilayah dikuasai kelompok jihadis dan didiami 3 juta penduduk, semakin teruk dibom rejim dan sekutunya, Russia sejak April lalu di sebalik perjanjian gencatan senjata sebulan lalu.

Melalui kartun, Amani secara keras mencabar tradisi untuk berkomentar mengenai kehidupan dalam kubu kuat kumpulan antirejim dan mengutuk sikap tidak peduli masyarakat antarabangsa terhadap kematian orang awam.

Dalam satu karyanya, dunia dilukis seperti burung unta yang menyembunyikan kepala di tengah-tengah selerakan tengkorak berdarah dengan hujan peluru berpandu.

Karya lain berjudul Eid in Idlib, kapal terbang perang menjatuhkan TNT berbalut pembungkus gula-gula yang menggantikan manisan biasanya diagih-agihkan ketika perayaan itu.

Lakaran itu menggunakan warna hitam putih dengan percikan merah, ilham daripada kehidupan di kubu kuat penentang.

“Kami hanya melihat darah, kegelapan dan kemusnahan,” katanya seperti dilaporkan AFP.

Keganasan memuncak sejak tiga bulan lalu mengorbankan lebih 790 orang awam berdasarkan laporan Syrian Observatory for Human Rights, meskipun gencatan senjata dicapai oleh Russia dan penyokong pemberontak di Turki.

Amani turut merakamkan gencatan itu dalam bentuk kertas yang dikotori darah dengan tulisan ‘perjanjian Idlib.’

Khamis lalu, kerajaan Syria berkata, pihaknya bersetuju terhadap gencatan senjata baharu, sekali gus memberikan sekurang-kurangnya kelegaan sementara kepada penduduk Idlib.

Meskipun karyanya dipamerkan di Belanda dan United Kingdom (UK), Amani terpaksa mencari jalan untuk melukis kerana ayahnya melarang.

“Saya menganggap diri sebagai wanita yang melarikan diri daripada adat resam dan tradisi,” katanya.

Masyarakat Syria kata Amani, masih tidak menerima wanita terbabit dalam satira politik melalui kartun atau seni.

Sebelum perang saudara meletus pada 2011, Amani bekerja sebagai guru seni di sekolah swasta di Idlib, supaya dapat dekat dengan dunia yang diminatinya.

Namun selepas wilayah itu jatuh ke tangan pemberontak, beliau ‘memulakan hidup baharu’ sebagai kartunis, menggunakan satira untuk merakam realiti perang yang mengorbankan 370,000 nyawa dan mengusir berjuta-juta pelarian di seluruh negara.

“Saya harap dapat menyampaikan mesej biarpun kecil mengenai penderitaan rakyat,” katanya.

Selain serangan udara rejim dan Russia, Amani turut mengkritik kelompok jihadis dan pemberontak yang mengawal wilayah di barat laut Syria itu - tindakan berani yang menyebabkan ramai ditahan dan dibunuh.

November tahun lalu, rakan kartunis seperjuangannya, penyampai radio dan aktivis lantang, Raed Fares ditembak mati oleh penembak tidak dikenali.

Januari lalu, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), iaitu kumpulan diketuai bekas anggota al-Qaeda, mengambil alih pentadbiran Idlib sepenuhnya.

Amani berkata, beliau tidak mengkritik HTS, sebaliknya tindakannya terutama kerana mengulangi tindak-tanduk rejim lama.

“Selama lapan tahun, kami berperang untuk membuang perangai dan sisa rejim.

“Namun, sebahagian kesilapan masih berlaku kerana budaya lama rejim masih kekal,” katanya.

Dalam lukisan lain, beliau mengkritik pendidikan tinggi yang terlalu mahal.

Karyanya, kata Amani, diperhatikan oleh peminat dan musuhnya.

“Ramai orang meminta saya berhati-hati seolah-olah saya tidak tahu apa akibatnya.

“Paling kerap saya dengar ialah saya perempuan dan tidak sepatutnya melukis dan menghasilkan karya begitu,” katanya.

Bagaimanapun, masyarakat di luar kagum.

“Ketika pameran saya di UK, ramai ahli akademik British terkejut kerana ada perempuan melukis sebegini di bawah HTS,” katanya.

Pameran baharunya akan diadakan di Perancis dan beliau bakal mempamerkannya di negara jiran, Turki.

Meskipun beliau berkemungkinan tidak akan hadir tanpa memperoleh visa perjalanan, beliau berharap ia akan menghapuskan pandangan stereotaip mengenai wanita di barat laut Syria itu.

“Wanita di Idlib bukanlah rakyat tanpa suara yang tidak dapat keluar rumah dan selalu mengenakan pakaian hitam.

“Benar, ada had tertentu tetapi kami tetap menentangnya,” katanya.

168 dibaca
Berita Harian X