Rabu, 7 Ogos 2019 | 5:55pm
Lukisan mural Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, Toni Morrison. - Foto Reuters

Pemenang Hadiah Nobel, Toni Morrison meninggal dunia

NEW YORK: Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan dari Amerika Syarikat (AS), Toni Morrison, meninggal dunia pada usia 88 di sebuah hospital di sini, semalam.

Morrison terkenal dengan novel Beloved pada 1987 mengangkat kisah hamba yang melarikan diri, sekali gus memenangi Hadiah Pulitzer.

Novel itu menjadi sebahagian karya dihasilkan yang melayakkannya menjadi wanita kulit hitam pertama memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Jurucakap syarikat penerbitan Alfred A Knopf, Paul Bogaards, mengumumkan berita itu tetapi tidak menjelaskan punca kematian. The Washington Post melaporkan beliau meninggal dunia, kelmarin.

Morrison mencatat kejayaan daripada sudut komersial dan pujian pengkritik ekoran karyanya hidup dan gaya bahasa indah dalam mengutarakan isu kaum, jantina dan cinta masyarakat Amerika.

Beloved berlatarbelakangkan Perang Saudara AS dan berdasarkan kisah benar seorang wanita yang terpaksa membunuh anaknya berusia 2 tahun untuk mengelakkannya daripada menjadi hamba. Watak itu, Sethe, ditangkap sebelum berjaya membunuh diri dan roh anaknya sering mengunjunginya.

Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, Toni Morrison. - Foto Reuters

Morrison memberitahu majalah NEA Arts pada 2015 bahawa beliau sudah pun menulis bahagian ketiga bukunya sebelum memutuskan untuk mewujudkan watak hantu bagi mengemukakan persoalan moral sama ada ibu itu berhak membunuh anaknya.

The New York Times menyifatkan babak kematian dalam novel itu sebagai ‘peristiwa kejam dan mengganggu yang muncul untuk menghimpunkan masa sebelum dan selepasnya kepada takdir yang padu. Ia memusnahkan impian sebuah keluarga terhadap keselamatan dan kebebasan, menghantui seluruh masyarakat selama beberapa generasi dan bergema dalam pemikiran pembaca untuk masa lama selepas mereka selesai membaca buku itu.’

Buku itu diadaptasi kepada filem dibintangi Oprah Winfrey yang juga menjadi penerbit bersekutu dan Danny Glover. Winfrey ialah antara peminat utama Morrison dan menampilkan empat karyanya dalam kelab buku berpengaruh dalam rancangan bual bicaranya.

Beloved menjadi sebahagian trilogi yang disifatkan Morrison untuk melihat persoalan cinta melalui sudut pandangan sejarah orang kulit hitam. Jazz diterbitkan pada 1992, adalah mengenai kisah cinta tiga segi ketika Harlem Renaissance di New York pada 1920-an dan buku ketiga ialah Paradise (1997) diceritakan watak wanita di kota kecil didominasi bangsa itu.

Ketika menobatkan hadiah kesusasteraan kepada pada 1993, organisasi Nobel berkata, karya pengarang itu dicirikan dengan daya pandangan jauh dan bersifat puitis serta menghidupkan aspek penting dalam realiti Amerika.

Morrison dilahirkan di Lorain, Ohio pada 18 Februari 1931 dan membesar dalam keluarga yang memiliki tradisi bercerita. Beliau berkelulusan Universiti Howard di Washington dan memperoleh ijazah sarjana dari Universiti Cornell.

Morrison mengajar di kolej dan pernah menjadi editor di syarikat penerbitan Random House sebelum menulis buku. Kemudian, beliau mengajar di Universiti Princeton.

Pada 2012, Morrison diangerahkan Pingat Presiden untuk Kebebasan oleh Barack Obama yang menyifatkannya sebagai khazanah negara. - Reuters

Berita Harian X